MALAYSIA

Melaka mohon jajaran baharu WCE, kurangkan kesesakan

Bernama 27/09/2025 | 11:00 MYT
Ab Rauf menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 - Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan. - Bernama
MELAKA: Kerajaan Melaka memohon agar satu jajaran baharu yang menghubungkan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipertimbangkan segera dalam pembentangan Belanjawan 2026 bulan depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata laluan itu dicadangkan bermula dari Banting, Selangor melalui Port Dickson Negeri Sembilan sebelum memasuki Melaka dan seterusnya ke Muar, Johor sekali gus menyediakan akses terus ke KLIA.

"Ini adalah antara perkara yang ditekankan oleh pemain industri di sini dan perkara ini telah dibawa kepada perhatian kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri menerima baik cadangan tersebut. Kita berharap kelulusan dapat diumumkan dalam pembentangan bajet nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Ab Rauf menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 - Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Zamzuri Abdul Aziz.

Ab Rauf berkata kewujudan jajaran baharu WCE itu penting bagi mengurangkan kesesakan jalan masuk ke Melaka selain merancakkan lagi perkembangan ekonomi negeri.

"Sekiranya jajaran ini diwujudkan, ia akan memberi impak besar terutama dari aspek pelaburan, pelancongan serta menjadikan Melaka lebih berdaya saing," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut mengusulkan agar Melaka dijadikan pusat halal hab terbesar negara dan hab sekuriti makanan.

"Semua ini akan kita perhalusi dan Perdana Menteri menerima baik cadangan-cadangan tersebut memandangkan ia melibatkan perkembangan ekonomi Melaka," katanya.

-- BERNAMA

#Melaka #jajaran baharu #WCE #KLIA #Belanjawan