MELAKA: Kerajaan negeri akan memperketatkan peraturan serta prosedur kemasukan dan penjagaan di dua tempat penginapan sementara yang menempatkan mualaf di Melaka, bagi mengelak sebarang kejadian jenayah atau aktiviti tidak bermoral di pusat berkenaan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata ia termasuk tapisan kemasukan yang lebih ketat, khususnya melibatkan latar belakang bakal penghuni dan juga warden bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua penghuni di pusat perlindungan percuma itu.

Beliau berkata pusat berkenaan disediakan untuk memberi perlindungan sementara kepada golongan mualaf yang baru memeluk Islam, khususnya bagi yang tiada tempat tinggal atau terasing daripada keluarga kerana menukar agama, dan mereka juga diberi elaun makanan setiap hari oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

"Disebabkan penghuni di pusat berkenaan datang daripada pelbagai latar belakang, jadi ada juga berlaku kes-kes yang tidak sepatutnya," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu segmen Apa Khabau YB di Konti Melaka FM di Jabatan Penyiaran Melaka, Jalan Taming Sari di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian liwat melibatkan penghuni sebuah pusat perlindungan sementara bagi mualaf di Taman Kesidang di sini.

Media sebelum ini melaporkan seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang merupakan anak wanita mualaf yang tinggal di pusat perlindungan itu menjadi mangsa liwat rakan sebiliknya yang berusia 20-an di asrama pusat itu sejak April lepas, dan suspek telah direman enam hari bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA