MALAYSIA

Melaka perkukuh agenda tenaga hijau, laksana projek solar di bumbung parkir UTC

Bernama 29/12/2025 | 15:00 MYT
Rais berkata pelaksanaan projek itu, sekali gus menjadi projek pertama seumpamanya melibatkan bumbung parkir milik kerajaan negeri. - Gambar fail/Astro AWANI
MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka terus mempergiat usaha memperkasakan agenda perubahan iklim dan kelestarian tenaga, dengan melaksanakan projek pemasangan panel solar di bumbung parkir Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Melaka mempergiat agenda perubahan iklim dan tenaga hijau dengan pemasangan panel solar di bumbung parkir UTC Melaka.
  • Langkah strategik ini bertujuan memaksimumkan penggunaan ruang sedia ada untuk penjanaan tenaga baharu serta penjimatan tenaga elektrik.
  • Projek pertama melibatkan bumbung parkir milik kerajaan negeri, seiring usaha memperluas inisiatif tenaga solar di sektor perumahan dan rencana projek berimpak tinggi pada tahun hadapan.


Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata langkah itu, bersifat strategik bagi memaksimumkan penggunaan ruang sedia ada untuk penjanaan tenaga boleh baharu serta penjimatan tenaga elektrik.

"Usaha ini juga merupakan kesinambungan daripada pemasangan panel solar di bumbung UTC Melaka sebelum ini, dengan pendekatan lebih progresif apabila bumbung parkir turut dimanfaatkan.

"Inisiatif ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada peluasan penggunaan teknologi hijau khususnya di bangunan kerajaan di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Penandatanganan Dokumen Usahasama antara Taha Cahaya Sdn Bhd, Lembaga Tabung Amanah Melaka (LTAM) dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) bagi Projek Solar Integrated Carpark Bangunan UTC Melaka.

Rais berkata pelaksanaan projek itu, sekali gus menjadi projek pertama seumpamanya melibatkan bumbung parkir milik kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memberikan peranan eksklusif kepada PTHM bagi melaksanakan dan menyelaras semua inisiatif berkaitan teknologi hijau melibatkan aset dan bangunan kerajaan negeri, termasuk kerjasama strategik bersama pemain industri swasta.

Rais berkata setakat ini, PTHM dengan kerjasama rakan industri telah memasang sebanyak 114 tapak pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kawasan parkir, selain memperluas inisiatif tenaga solar dalam sektor perumahan melalui kerjasama dengan syarikat swasta, termasuk Skim Solar Perumahan Melaka (SolarMEL).

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menggalakkan penerokaan ruang berpotensi di bangunan kerajaan bagi tujuan tenaga hijau, namun pelaksanaannya tertakluk kepada piawaian dan syarat ditetapkan, selain beberapa projek berimpak tinggi sedang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

"Kita menetapkan sasaran yang realistik dan berperingkat. Dengan kerjasama rakan strategik, inisiatif ini diyakini mampu memperkukuh kedudukan Melaka sebagai antara negeri peneraju teknologi hijau," katanya.

-- BERNAMA



#tenaga solar #teknologi hijau #kenderaan elektrik #SolarMEL