Skip to main content

Malaysia

Melaka peruntuk lebih RM70 juta bagi aktiviti kebajikan tahun ini - Ab Rauf

Sumber: Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf (empat dari kiri) mengiringi Mohd Ali (lima dari kiri) menghadiri pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat Melaka 2026 di Dataran Klebang, Melaka, malam tadi. - Gambar Instagram Ab Rauf Yusoh

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka memperuntukanRM78.67 juta tahun ini untuk aktiviti berkaitan kebajikan masyarakat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, peruntukan itu meningkat sebanyak RM1.71 juta tahun ini berbanding RM76.96 juta yang diperuntukkan kerajaan negeri bagi aktiviti sama tahun lepas.

Advertisement

"Pada 2024, peruntukan kebajikan adalah RM66.07 juta dan peningkatan konsisten saban tahun bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negeri.

"Setiap ringgit bantuan adalah simbol komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang, menerima manfaat pembangunan dan kebajikan secara adil dan saksama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat Melaka 2026 di Dataran Klebang yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, sambutan Tahun Baharu Cina bukan hanya perayaan tahunan malah turut menjadi platform memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan antara kaum di negeri itu.

Beliau berkata, Melaka yang kini dihuni kira-kira 1.05 juta penduduk terdiri daripada 72.8 peratus Melayu, 21.1 peratus masyarakat Cina, 5.5 peratus masyarakat India serta kaum-kaum lain, membuktikan kepelbagaian kaum yang wujud menjadi kekuatan utama dalam membentuk keharmonian negeri.

"Di saat dunia berpecah kerana perbezaan seperti yang berlaku hari ini, kita di Malaysia perlu bersyukur kerana Melaka dan negara memilih untuk terus mengukuh kebersamaan dan meraikan kepelbagaian.

"Kita mungkin berbeza bahasa di rumah, berbeza adat di meja makan, tetapi kita berkongsi satu identiti yang sama... kita semua anak Melaka dan keluarga besar Melaka," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video