MELAKA: Kerajaan negeri Melaka memperuntukkan RM5 juta untuk kempen promosi dan publisiti di dalam dan luar negara bagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM24).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata antara kempen yang dilaksanakan ialah pengiklanan di media cetak dan elektronik.

Abdul Razak (BN-Telok Mas) berkata sebanyak 76 acara dirangka sempena TMM24 seperti Karnival ' Hot Air Balloon', Bendang Nusantara dan 'art fashion'.

"Kerajaan negeri akan memastikan semua acara ini mendapat sambutan di mana promosi di seluruh negara dan luar negara disokong penuh oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai peruntukan disediakan kerajaan negeri untuk menjayakan TMM24 dan senarai program yang akan dilaksanakan bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri itu.


Menjawab soalan tambahan Datuk Lim Ban Hong (BN-Kelebang) mengenai impak pengecualian visa terhadap pelancong dari China, Abdul Razak berkata kerajaan negeri akan mengadakan promosi hebat di negara berkenaan untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri itu sempena TMM24.

"Insya-Allah kita akan ke China untuk buat promosi yang akan diketuai oleh Ketua Menteri (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) sendiri kerana pelancong China ini pelancong teramai datang ke Malaysia," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis ini dalam semangat kerjasama strategik hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun pada tahun depan.

Perdana Menteri berkata ia merupakan tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat.

-- BERNAMA