MALAYSIA

Melaka salur RM200,000 kepada lebih 1,000 keluarga masyarakat India sempena Deepavali

Bernama 18/10/2025 | 02:00 MYT
Ab Rauf (lima, kiri) memalu gendang sebagai simbolik perasmian Pesta Deepavali 2025 Peringkat Negeri Melaka. - Foto BERNAMA
MELAKA: Kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM200,000 kepada lebih 1,000 keluarga masyarakat India di seluruh kawasan parlimen di Melaka, bagi menyemarakkan sambutan Deepavali tahun ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sumbangan itu juga sebagai tanda kebersamaan dan penghormatan terhadap masyarakat berkenaan khususnya golongan B40 yang meraikan pesta cahaya.

Beliau berkata selain itu, Pejabat Ketua Menteri Melaka turut menyalurkan lebih 400 kit makanan kepada persatuan-persatuan kebajikan masyarakat India di semua parlimen di negeri itu.

"Pada 10 Okt lepas, sebanyak 100 pelajar daripada 21 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil juga telah diraikan melalui sumbangan pakaian baharu dan malam ini sebanyak 30 anak Melaka daripada keluarga B40 komuniti India menerima sumbangan pakaian sebagai persiapan menyambut Deepavali dengan penuh kegembiraan.

"Saya berharap sumbangan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk membuat persiapan Deepavali sekali gus memberi sinar kegembiraan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Deepavali 2025 Peringkat Negeri Melaka. Turut hadirPengerusi MIC Melaka yang juga Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk V P Shanmugam.

Kira-kira 2,000 pengunjung daripada masyarakat berbilang kaum hadir memeriahkan sambutan malam tadi.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah antaranya roti canai, tosei, vadai serta putu mayam selain persembahan kesenian serta kebudayaan masyarakat India.

Deepavali disambut pada 20 Okt ini.

-- BERNAMA






#Deepavali #Ab Rauf Yusoh #B40 #pesta cahaya