MELAKA: Melaka menyasarkan untuk beralih ke arah pelaksanaan Dasar Tanpa Gelombang Mikro dalam tempoh lima tahun bagi memperkukuh kapasiti dan kestabilan rangkaian telekomunikasi di negeri itu menerusi penggunaan gentian optik berkapasiti tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Nazdiana Ab Wahab berkata usaha itu akan diperkukuh menerusi peningkatan kadar menara telekomunikasi milik syarikat berkenaan yang dilengkapi rangkaian gentian optik daripada 40 peratus kepada 80 peratus.
"Bagi tujuan itu, MICTH dan Maxis Berhad telah memeterai perjanjian kerjasama bagi melengkapkan 151 menara telekomunikasi tambahan dengan rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi secara berfasa bermula tahun ini.
"Harapan kita apabila telah menyediakan sambungan gentian optik berkapasiti tinggi di 80 peratus menara telekomunikasi ini, kita akan bergerak ke arah dasar No Microwave Policy (Dasar Tanpa Gelombang Mikro) di Melaka," katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian antara MICTH dan Maxis Berhad di sini pada Khamis.
Majlis itu disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Nazdiana berkata setakat ini hampir 200 menara MICTH telah dilengkapi dengan rangkaian gentian optik, mewakili kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan menara milik syarikat berkenaan.
Beliau berkata penggunaan gentian optik sebagai rangkaian ‘tulang belakang’ dapat meningkatkan kapasiti, kelajuan dan kestabilan sambungan Internet berbanding teknologi gelombang mikro.
Nazdiana berkata teknologi gentian optik mempunyai kapasiti dan lebar jalur yang lebih besar serta lebih stabil manakala sambungan gelombang mikro boleh dipengaruhi faktor cuaca dan halangan fizikal seperti bangunan atau pokok.
"Kadang-kadang kita nampak sesuatu kawasan itu ada liputan tetapi talian masih perlahan disebabkan kekangan kapasiti.
"Dengan menggunakan gentian optik sebagai tulang belakang, kita harap dapat meningkatkan kapasiti supaya talian Internet menjadi lebih laju," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan fiberisasi menara berkenaan diharap dapat meningkatkan keupayaan dan kebolehpercayaan rangkaian telekomunikasi di Melaka seiring perkembangan serta keperluan teknologi semasa.
-- BERNAMA