Melaka sumbang RM300,000 untuk tiga IPD

Mohd Khalid menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak anggota polis pada Program Jelajah Wira MADANI Bantuan Khas Persekolahan Untuk Anak-anak Anggota Polis di Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, hari ini. - Gambar Bernama
MELAKA: Kerajaan Melaka menyumbang RM300,000 kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk disalurkan kepada tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ringkasan AI
- Kerajaan Melaka sumbang RM300,000 kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk disalurkan kepada tiga IPD di negeri itu bagi bantuan kebajikan kepada keluarga polis.
- Program Jelajah Wira MADANI berikan bantuan persekolahan kepada 357 anak polis dengan wang tunai RM100 hingga RM150 serta baucar, manakala pesara polis terima RM500.
- Ketua Polis Negara tegaskan penyaluran peruntukan khas itu mengukuhkan nilai-nilai MADANI dan memberi semangat kepada anak-anak polis untuk cemerlang dalam pendidikan.
"Semoga sentuhan ini menjadi sumber kekuatan buat anak-anak untuk terus melangkah jauh dalam dunia pendidikan dan menjadi penawar buat mereka yang sedang diuji," katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Program Jelajah Wira MADANI: Bantuan Khas Persekolahan untuk Anak-anak Warga IPK Melaka yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar di IPK Melaka di sini hari ini.
Sebanyak 357 anak-anak anggota polis menerima bantuan persekolahan berupa wang tunai antara RM100 dan RM150 serta baucar manakala tiga pesara polis menerima sumbangan wang tunai RM500.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata penyaluran peruntukan khas itu mencerminkan kesungguhan serta komitmen kerajaan memperkasakan nilai-nilai MADANI untuk membangunkan ekosistem kekeluargaan yang lebih mampan dan sejahtera berteraskan roh keyakinan, nilai hormat dan ihsan dalam keluarga besar Sang Saka Biru.
"Saya percaya, bantuan yang diberikan sedikit sebanyak mampu meringankan beban warga pasukan, tambahan pula sesi persekolahan 2026 akan bermula tidak lama lagi.
"Pada masa yang sama, ia mampu menyuntik semangat dan keceriaan kepada anak-anak warga PDRM untuk terus menggali potensi diri dan menzahirkan kecemerlangan demi masa depan yang gemilang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


