MALAYSIA
Melaka tarik RM855.63 juta pelaburan baharu bagi suku pertama 2025

Ab Rauf berkata, rakyat turut mendapat manfaat daripada aktiviti pelaburan itu apabila kadar pengangguran di Melaka menyusut kepada 1.9 peratus pada suku pertama 2025. - Bernama
MELAKA: Melaka berjaya menarik pelaburan baharu sebanyak RM855.63 juta pada suku pertama tahun ini yang merangkumi sektor strategik seperti pembuatan dan perkhidmatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata ini menunjukkan bukti nyata keyakinan pelabur terhadap kestabilan, kecekapan pentadbiran dan dasar pro-perniagaan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
"Tahun 2024 menyaksikan Melaka melonjak ke hadapan sebagai destinasi pelaburan unggul apabila berjaya menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik sebanyak RM8.18 bilion, jauh melepasi sasaran asal RM5 bilion.
"Aliran pelaburan yang konsisten ini bukan sekadar petunjuk keyakinan pelabur, malah turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk rakyat," katanya dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.Beliau berkata rakyat turut mendapat manfaat daripada aktiviti pelaburan itu apabila kadar pengangguran di Melaka menyusut kepada 1.9 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 2.2 peratus pada suku keempat 2024, jauh lebih rendah berbanding kadar nasional pada 3.1 peratus.
"Ini bukti nyata bahawa setiap pelaburan yang masuk bukan sahaja menjana ekonomi tetapi turut membawa manfaat terus ke pintu rumah rakyat Melaka," katanya.
Beliau berkata tiga kawasan industri utama yang menjadi tulang belakang baharu pembangunan pelaburan menyediakan lebih banyak limpahan peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka.
Katanya kawasan industri utama itu adalah MCORP Hi Tech Park (Parcel A, C dan D) yang meliputi 174.42 hektar dan telah siap sepenuhnya; German Technology Park yang kini dalam fasa perataan tanah bagi pembangunan fasa pertama; dan Kawasan Perindustrian Elkay 2.0 yang sedang melalui proses kelulusan perancangan fasa pertama.
"Dalam memastikan kelangsungan dan kelestarian ekosistem pelaburan, kerajaan negeri turut menggazetkan sebanyak 2,731.85 hektar sebagai zon tanah perindustrian.
"Fokus utama adalah kepada pembangunan zon industri moden, hijau dan bertaraf antarabangsa yang mampu menjana pelaburan berimpak tinggi secara mampan," katanya.
Ab Rauf berkata dari segi perdagangan, nilai keluar masuk barangan di Melaka sehingga Mac 2025 mencatatkan RM17.45 bilion, meningkat 1.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata paling membanggakan, jumlah eksport Melaka melonjak 44.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Menurutnya ini sekali gus menunjukkan pencapaian luar biasa yang menandakan produk dan perkhidmatan dari Melaka semakin mendapat tempat di pasaran antarabangsa bagi memperkukuh kedudukan negeri sebagai pemain aktif dalam perdagangan global.
Berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024, Melaka berjaya mencatat nilai tambah sebanyak RM48.9 bilion dengan kadar pertumbuhan positif 4.4 peratus.
Dominasi ekonomi negeri terus dipacu oleh sektor perkhidmatan dengan sumbangan RM25.2 bilion, merangkumi 51.4 peratus daripada keseluruhan nilai KDNK, diikuti sektor pembuatan yang menyumbang 35.9 peratus atau RM17.6 bilion.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami