Melaka terima pelancong dari Dumai, Indonesia melalui feri bermula 5 Mei

Bernama
April 29, 2022 22:10 MYT
Melaka bakal menerima kemasukan pelancong dari Dumai, Indonesia melalui ICQS Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai di Kota Laksamana. - Foto fail
MELAKA: Melaka bakal menerima kemasukan pelancong dari Dumai, Indonesia melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai di Kota Laksamana di sini, bermula 5 Mei ini.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan negeri Sa'ari Basiron berkata pelancong berkenaan akan dibawa masuk menggunakan feri kendalian syarikat Feri Indomal yang dijangka tiba di terminal berkenaan kira-kira 1 tengah hari.
"Feri dari Dumai akan berlepas kira-kira 10 pagi waktu Malaysia dan perjalanan dianggarkan antara dua hingga tiga jam untuk sampai ke ICQS Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai," katanya yang dihubungi Bernama pada Jumaat.
Beliau berkata operasi feri bagi Dumai-Melaka adalah pada Selasa, Khamis dan Sabtu manakala Melaka-Dumai pada Rabu, Jumaat dan Ahad.
Katanya feri tersebut tidak akan beroperasi pada Isnin.
Kompleks ICQ Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai merupakan satu daripada akses masuk dan keluar rakyat dari Indonesia menerusi Dumai namun laluan tersebut ditutup ekoran penutupan sempadan antara Malaysia dan Indonesia berikutan penularan COVID-19 kira-kira dua tahun lepas.
-- BERNAMA
#Melaka #pelancong #Dumai #feri