[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Melaka tubuh jawatankuasa khas tangani isu petani warga asing

Bernama 16/06/2025 | 13:15 MYT
Muhammad Akmal berkata pihaknya akan berbincang dengan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pertanian bagi merangka langkah pelaksanaan serta pencegahan yang sesuai untuk menangani isu berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu lambakan petani warga asing selewat-lewatnya pada bulan depan, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pertanian bagi merangka langkah pelaksanaan serta pencegahan yang sesuai untuk menangani isu berkenaan.
"Kita bukannya mahu menghalang, tetapi memberi ruang dan peluang kepada petani tempatan ... hal ini kerana yang lebih merisaukan kita apabila mereka memonopoli pasaran tempatan.
"Sebagai contoh, seperti di pasar ada peniaga yang memilih untuk membeli (hasil pertanian) hanya daripada kalangan warga asing bukan daripada petani warga tempatan," katanya pada sidang media bersempena dengan Melaka Agrofest 2025 di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.
Mengulas lanjut, Muhammad Akmal berkata pihaknya juga khuatir dengan tindakan petani warga asing yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, iaitu menjual hasil tani pada harga jauh lebih murah sehingga mengganggu ekosistem jualan petani tempatan.
"Misalnya, bendi mahu dijual RM1 sekilogram, tetapi harga di pasaran ialah RM4.50 hingga RM5 sekilogram, sedangkan petani kita perlu mengeluarkan pelbagai kos termasuk mengupah pekerja untuk mendapatkan hasil.
"Jadi, kita mahu lihat dari segi pelaksanaan dan mungkin juga perlu ubah sedikit undang-undang untuk mengekang warga asing daripada memonopoli pasaran pertanian kita," katanya.
-- BERNAMA
#isu petani warga asing #Muhamad Akmal Saleh #jawatankuasa khas #Melaka