Memacu pertumbuhan agenda hijau

Astro Awani
Oktober 8, 2013 23:04 MYT
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) akan memfokuskan pembangunan teknologi hijau dalam Bajet 2014 yang bakal dibentangkan pada 25 Oktober ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI berkata, amalan hijau di peringkat global sudah mencapai tahap yang melebihi daripada komponen sedia ada.
Walaubagaimanapun, menurut beliau di Malaysia masih terdapat beberapa komponen yang perlu diberi perhatian.
“Pertama sekali berkaitan dasar kerajaan mengenai teknologi hijau yang baru dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2009 dimana hasrat beliau adalah untuk teknologi hijau emnjadi pemacu dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi Negara.
“Kedua adalah tahap kesedaran masyarakat dalam pekara ini. Kami telah mencuba berbagai program seperti menyemai kesedaran kepada masyarakat selain perniagaan yang berkaitan teknologi hijau. Sebagai contoh, tenaga yang boleh diperbaharui atau kenderaan elektrik
“Pada masa sama kita mahu supaya inovasi atau pakar-pakar dalam bidang ini membantu dan salah satu platformnya adalah IGEM2013,” kata Mahdzir.
IGEM2013 atau Persidangan dan Pameran Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa keempat yang bakal berlangsung di Malaysia bermula 10 Oktober ini bertujuan meneraju dan mencipta momentum dalam membentuk dan mempromosikan Malaysia sebagai sebuah hab teknologi hijau.
Sementara itu, Mahdzir mengulas mengenai kesedaran orang awam tentang penggunaan pengangkutan awam sudah bertambah baik terutama sekali di kalangan warga kota.
Menurut beliau, ini dilihat sebagai satu kemajuan yang memberangsangkan kerana ia dapat mengurangkan beban pengeluaran karbon.
Namun, dengan kesesakan trafik terutama di ibu Negara, ternyata kesedaran ini masih tidak sampai secara menyeluruh kepada masyarakat.
“Akhirnya kita mungkin memerlukan penguatkuasaan. Di sesetengah negara maju, penguatkuasaan adalah satu perkara penting. Ia menjurus kepada kesedaran dan pemikiran rakyat yang sudah berubah, tetapi pada masa yang sama terdapat penguatkuasaan yang terancang oleh undang-undang. Peraturan inilah yang akan mengajar masyarakat,” tambah beliau.
INSENTIF KOMUNITI PERNIAGAAN TEROKA PASARAN HIJAU:
#IGEM2013 #KeTTHA #Mahdzir Khalid #teknologi hijau