TAWAU: Padah memandu dalam keadaan mabuk, tiga lelaki dihukum penjara sehari dan denda antara RM10,000 hingga RM15,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Mohd Azlan Mohd Suriansyah, 24, dan Yasor Yakob, 34, didenda RM10,000, manakala Chong Weoi Lin, 42, (RM15,000) selepas mereka membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Azlan dan Yasor menjalani hukuman tambahan penjara lima bulan, manakala Chong enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohd Azlan dan Yasor didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thein Vun, pada jam 1.10 pagi, 30 Mei lalu.

Chong pula melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, kira-kira jam 11.20 malam pada 13 Mei lalu.

Hasil ujian saringan pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam darah ketiga-tiga tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Dzul Elmy turut memerintahkan lesen memandu semua mereka digantung selama dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Surian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Suhaimi dalam hujahnya menegaskan kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bukan sahaja di daerah ini malah di seluruh negara.

Oleh itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.