Skip to main content

Malaysia

Menara FINAS Damansara bakal jadi pusat pemikiran strategik industri kreatif negara – Teo

KUALA LUMPUR, 23 Julai -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) bersama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bergambar pada Majlis Simbolik Perpindahan Operasi FINAS Petaling Jaya ke Menara FINAS Damansara hari ini._BERNAMA
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) bersama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bergambar pada Majlis Simbolik Perpindahan Operasi FINAS Petaling Jaya ke Menara FINAS Damansara hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PETALING JAYA: Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Damansara bakal menjadi pusat pemikiran strategik kepada pembangunan industri kreatif negara yang lebih mampan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Menara FINAS Damansara juga membuka lembaran baharu dalam perjalanan agensi itu sebagai institusi peneraju pembangunan industri filem serta kandungan kreatif tempatan.

Beliau berkata perpindahan operasi FINAS dari Petaling Jaya ke Menara FINAS Damansara bukan sekadar perpindahan lokasi operasi atau pertukaran alamat, sebaliknya melambangkan transformasi organisasi berkenaan.

“Perpindahan ke Menara FINAS Damansara mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan FINAS terus relevan, progresif dan bersedia mendepani cabaran serta memenuhi tuntutan masa hadapan.

“Menara FINAS menjadi simbol transformasi organisasi, pusat pemikiran strategik serta pemangkin kepada pembangunan industri kreatif negara yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di peringkat serantau mahupun antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Perpindahan Operasi FINAS ke Menara FINAS Damansara di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Terdahulu, Fahmi yang diiringi Teo serta barisan pengurusan tertinggi FINAS menyempurnakan simbolik pemindahan plak bangunan FINAS Petaling Jaya untuk dipasang semula di Menara FINAS Damansara.

Operasi pentadbiran dan pengurusan FINAS dijangka berpusat sepenuhnya di Menara FINAS Damansara mulai 1 Ogos ini selepas proses perpindahan dilaksanakan secara berperingkat sejak bulan lepas.

Teo berkata kementerian itu akan terus menyokong FINAS dalam usaha memperkasakan bakat tempatan, memperluas akses ke pasaran global dan menarik pelaburan dalam sektor kreatif.

Beliau berkata usaha itu juga penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kandungan kreatif yang disegani di rantau ini.

“Saya yakin dengan komitmen seluruh warga FINAS serta sokongan padu daripada pemain industri, perpindahan ini akan membuka ruang kepada lebih banyak pembaharuan, kerjasama strategik dan pencapaian lebih membanggakan,” katanya.

Mengimbas sejarah kompleks FINAS Petaling Jaya, Teo berkata bangunan itu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 24 Ogos 1965 dan pernah menjadi nadi operasi Filem Negara Malaysia sebelum pengurusannya diambil alih FINAS pada 2013.

Beliau berkata selama lebih enam dekad, kompleks itu menjadi saksi perkembangan industri perfileman negara dan kekal sebagai institusi bersejarah penting dalam landskap perfileman Malaysia.

“Kompleks ini juga telah melahirkan pelbagai inisiatif pembangunan bakat, latihan profesional, penerbitan karya serta pengukuhan ekosistem industri.

“Ramai tokoh dan penggiat seni yang mengharumkan nama negara turut mempunyai hubungan rapat dengan institusi bersejarah ini,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement