Menara Merdeka 118 kini jadi bangunan pencakar langit tertinggi di Malaysia

Astro Awani
Jun 9, 2021 06:12 MYT
Apabila siap sepenuhnya, menara milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu akan mencapai ketinggian sekurang-kurangnya 644 meter. - Foto PNB
KUALA LUMPUR: Menara Merdeka 118 di ibu negara melakar sejarah sebagai bangunan tertinggi di Malaysia apabila lantai tingkat ke-118 bangunan itu telah siap dibina.
Apabila siap sepenuhnya pada 2022, menara milik anak Permodalan Nasional Berhad (PNB), PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB) itu akan mencapai ketinggian sekurang-kurangnya 644 meter dan bakal dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara.
"Kami gembira untuk mengumumkan bahawa menara Merdeka 118 telah berjaya menyempurnakan pemasangan lantai terakhir di tingkat 118. Peristiwa yang bermakna dalam pembinaan Merdeka 118 ini menambahkan lagi seri latar langit Kuala Lumpur yang sedia ada.
"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam projek ini, terutama sekali bagi mereka yang telah bekerja keras ke arah pencapaian bersejarah ini," kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB dalam satu kenyataan pada Selasa.
Berikut adalah antara enam ciri mengagumkan yang anda perlu tahu:
1. Merangkumi ruang lantai seluas tiga juta kaki persegi dan terdiri daripada 1.66 juta kaki persegi luas sewaan bersih ruang pejabat gred A serta kira-kira sejuta kaki persegi ruang niaga.
2. Mempunyai dek pemerhatian The View at 118 yang akan menjadi dek tertinggi di Asia Tenggara serta satu-satunya Hotel Park Hyatt di Malaysia yang terletak di 17 tingkat teratas menara.
3. Sebuah pusat beli-belah dengan pelbagai peluang perniagaan menarik yang dikelilingi kehijauan serta taman terbuka.
4. Terdapat tiga menara yang memuatkan kediaman eksklusif.
5. Lokasi presint tersebut turut menempatkan sebuah muzium tekstil yang mengetengahkan warisan tekstil dunia Melayu, sebuah pusat jagaan kanak-kanak dan Masjid Merdeka, masjid baharu dengan kapasiti ruang yang mampu memuatkan 3,000 jemaah.
6. Kini, Merdeka 118 telah pun 81 peratus siap dibina dan pemasangan fasad kaca berada di tingkat 108.
#menara tertinggi #KLCC #Menara KL #Menara Merdeka 118 #PNB #Permodalan Nasional Berhad