Bagi petugas barisan hadapan yang kini berada di tahap genting apabila hospital hampir mencapai paras kapasiti penuhnya manakala pusat COVID-19 sementara kini lebih padat dengan orang ramai berbanding lapangan terbang semasa era sebelum pandemik; mereka berharapkan pemutus litar bagi mengurangkan kadar jangkitan.
Setakat 7 Jan, kes jangkitan harian tempatan telah mencapai paras 3,000 dan Ketua Pengarah Kesihatan memberi amaran angka itu boleh meningkat sehingga 8,000 pada Mac sekiranya trend ini berterusan.
Meskipun peningkatan jangkitan itu menggusarkan ramai orang, perniagaan sebaliknya tidak mampu untuk menerima satu lagi tamparan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang baru sahaja meraih semula momentum mereka.
Ekonomi kerugian RM42 bilion sehari semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lebih 30,000 PKS menutup perniagaan sejak Mac.
BACA: Sekatan pergerakan ketat kedua boleh tumbangkan ekonomi - Eurocham Malaysia
Bagi rakyat pula, masa depan nampaknya masih suram.
Apakah yang akan berlaku seterusnya? Adakah mereka akan kehilangan semula pendapatan yang mereka baru sahaja mendapat balik?
PASARAN PEKERJAAN
Meskipun perangkaan menunjukkan kadar pengangguran berada dalam aliran menurun sejak pembukaan semula ekonomi selepas PKP selama tiga bulan dari Mac hingga Jun tahun lepas, kadarnya masih lagi agak tinggi berbanding purata.
Pada Oktober 2020, kadar pengangguran berada pada 4.7 peratus atau 748,200 orang.
Bukan itu sahaja, mereka yang diberhentikan kerja ekoran penutupan perniagaan dan sempadan menceburi bidang perniagaan manakala sebahagian hanya mendapat gaji lebih rendah yang membawa kepada guna tenaga tidak penuh.
Dari segi ekonomi gig, walaupun ia adalah alternatif yang mudah bagi ramai orang; namun ia sering berada dalam tekanan kerana pasaran telah menjadi semakin tepu.
Bukan itu sahaja, kebanyakan mereka tidak lagi mampu bertahan dengan pendapatan kecil daripada pekerjaan yang dilakukan yang menjadikan mereka semakin rentan sejak COVID-19 melanda.
Ketika gesaan demi gesaan supaya PKP dilaksanakan semula, ini boleh menyebabkan mereka yang baharu sahaja bangkit untuk memulakan kembali usaha masing-masing, sebaliknya berkemungkinan akan terus terjejas.
Bukan setakat itu, golongan pertengahan M40 yang menghadapi tekanan sejak awal apabila gaji dipotong selain tiada manfaat kerja lebihan masa, juga tidak terkecuali akan dihimpit kesukaran yang lebih ketara.
Sudah pasti, bebanan yang digalas menjadi lebih berat apabila ramai anggota keluarga bergantung harap kepada mereka sedangkan pada masa sama kalangan ini dikecualikan daripada bantuan seperti kemudahan i-Sinar yang disediakan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ini hanya menimbulkan persoalan lebih besar -- mampukah kewangan kita menampungnya?
TEKANAN KEWANGAN
Sewaktu PKP dilaksanakan, kerajaan telah bertindak pantas menerusi pemberian bantuan kepada rakyat melalui langkah seperti kelonggaran bayaran balik pinjaman/pembiayaan atau kemudahan moratorium secara menyeluruh, bantuan tunai serta sokongan kewangan untuk perniagaan.
Kemudahan moratorium oleh pihak bank yang berakhir pada September lepas, terbukti memberi lebihan mudah tunai terutamanya bagi mereka yang kehilangan kerja akibat pandemik itu serta yang terjejas akibat potongan gaji.
Apabila bantuan itu berganjak kepada pendekatan yang lebih bersasar dengan tahap kelulusan mencecah 90 peratus, keadaan ekonomi mula mencatatkan peningkatan.
Namun, ketika COVID-19 terbukti semakin agresif dalam komuniti manakala perniagaan terikat dengan peraturan operasi, mereka yang terjejas juga terpaksa beralih kepada caruman persaraan KWSP menerusi program i-Sinar.
Dalam kenyataan baru-baru ini, KWSP telah meluluskan sebanyak 2.5 juta daripada 3.88 juta permohonan i-Sinar di bawah Kategori 1 yang melibatkan pengeluaran berjumlah RM19.62 bilion setakat 4 Jan, 2021.
Menurut dana persaraan itu, pembayaran bulan pertama berjumlah RM10.07 bilion akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 5 Jan, 2021 manakala sebahagian besar daripada baki 1.4 juta permohonan yang belum diluluskan, berada dalam kriteria Kategori 2 yang akan dibuka mulai 11 Jan, 2021.
BACA: KWSP lulus 2.5 juta permohonan untuk i-Sinar membabitkan RM19.62 bilion
Justeru, selepas dana KWSP dilibatkan, apa lagi sumber simpanan yang ada khususnya bagi mereka yang mengalami kesukaran?
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika mengulas mengenai kedudukan fiskal kerajaan berkata Malaysia tidak teragak-agak untuk mengembangkan kedudukan fiskalnya dalam tempoh terdekat bagi menyokong pakej pemulihan ekonomi kitaran.
Ini merangkumi belanjawan terbesar yang diwujudkan bagi 2021, ditambah dengan dana khas untuk COVID-19 sebanyak RM38 bilion yang akan dipacu oleh pinjaman tempatan.
Belanjawan 2021 digubal pada harga minyak antara AS$45-AS$55 setong.
Sementara itu Maybank Investment berkata penanda aras minyak mentah Brent dijangka didagangkan secara purata pada US$45.50 setong pada 2021 berikutan permintaan yang agak lembap.
Nisbah hutang kerajaan pusat berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada akhir November 2020 adalah RM818.2 bilion atau 56.8 peratus, berikutan langkah meningkatkan nisbah hutang KDNK negara kepada 60 peratus.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan masih mempunyai ruang untuk menjalankan langkah-langkah tambahan bagi menangani cabaran ekonomi apabila timbul keperluan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan Tahun Baharunya memberi jaminan bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan suntikan fiskal yang strategik jika keadaan mengizinkan, seperti pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.
Beliau berkata, pengukuhan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara selepas COVID-19 adalah salah satu daripada lima strategi bersepadu yang dibentangkan kerajaan bagi 2021.
Persoalannya, adakah ini masanya?
MAMPUKAH PERNIAGAAN TERUS DIKEKALKAN?
Kemampuan mengharungi pusingan pertama PKP telah menjadi satu keajaiban bagi ramai dan memandangkan adanya seruan yang semakin nyata bagi satu lagi pusingan PKP, sudah terdengar banyak keluhan.
Persatuan PKS Malaysia bimbang wujud satu lagi pusingan PKP yang mungkin membawa kepada penutupan lebih banyak perniagaan tempatan dan peningkatan pengangguran di negara ini.
Naib Presiden, Chin Chee Seong berkata satu lagi pusingan PKP sudah pasti "mematikan lebih banyak perniagaan yang kini sedang tercungap-cungap untuk bertahan".
Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) turut mengeluarkan kenyataan yang sama dengan memohon supaya aktiviti ekonomi dan perniagaan dibenarkan beroperasi meskipun di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dilaporkan berkata pihaknya menyokong pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bersasar dengan mengenakan SOP lebih ketat serta sekatan perjalanan, namun, bukan PKP seperti yang dilaksanakan pada Mac 2020.
Hakikatnya, ketika semua mata tertumpu kepada prestasi syarikat multinasional; penggerak ekonomi yang sebenar ialah PKS yang menyediakan pekerjaan kepada lebih 75 peratus penduduk.
Secara hipotesisnya, semakin tinggi kadar penutupan PKS, semakin tinggi jumlah pengangguran.
Berikutan tekanan kewangan yang semakin meningkat, satu-satunya cara untuk membendung masalah berkenaan adalah dengan memastikan mudah tunai dalam isi rumah untuk sepanjang tempoh kawalan pergerakan.
MENYEIMBANGKAN EKONOMI DAN KESIHATAN
Kita sering mendengar bahawa "kesihatan adalah kekayaan."
Hari ini, kita berada di persimpangan.
Sukar membuat keputusan untuk menyeimbangkan antara kesihatan dan ekonomi; namun sesuatu perlu dilakukan demi masa depan yang lebih baik.
Walaupun keadaan suram kembali ketara, namun kali ini ia disertai dengan tekanan yang lebih hebat; kita perlu mencari keseimbangan agar negara tidak kecundang disebabkan oleh pandemik ini.
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memainkan peranan dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan sementara menunggu ketibaan vaksin sekiranya kita tidak mahu menjadi sebahagian daripada penyumbang ini.
Sambil menyeimbangkan antara kedua-duanya, janganlah kita membebankan lagi petugas barisan hadapan ini yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam tempoh setahun ini.
-- BERNAMA