[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Mencuri di pelantar minyak, tujuh warga Indonesia dipenjara

Bernama 28/04/2025 | 15:50 MYT
Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara sembilan bulan ke atas tujuh lelaki warga Indonesia selepas mereka mengaku bersalah mencuri di sebuah pelantar minyak yang tidak berpenghuni dalam perairan negara, Febuari lepas. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara sembilan bulan ke atas tujuh lelaki warga Indonesia selepas mereka mengaku bersalah mencuri di sebuah pelantar minyak yang tidak berpenghuni dalam perairan negara, Febuari lepas.
Junaidi Samsul Azhar, Raja Tadarani Ani, Pak Rani Yusman, Zainuddin Amri, Alizar Kamal, Rahmat Amri dan Riko Saputra Abdul Rashid, yang berusia antara 25 dan 45 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Mereka didakwa mencuri dua set kabel dan empat unit bateri milik Vestigo Petroleum Sdn Bhd di atas Platform Tembikai di Perairan Malaysia iaitu pada kedudukan 76.9 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 12 tengah hari 20 Feb lepas mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara minimum namun Pegawai Pendakwa Maritim Terengganu Nik Mohd Izwan Farid Md Daud memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum ke atas mereka.
Beliau berkata kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana melibatkan isu keselamatan serta kedaulatan perairan negara dan sekiranya hukuman pemenjaraan rendah diberikan, ia akan menyebabkan warga asing lain tidak gentar untuk melakukan kesalahan serupa.
Iffah Nabihah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu 20 Feb lepas.
-- BERNAMA
#Mahkamah Majistret #warga asing #penjara #pelantar minyak