JOHOR BAHRU: Pihak pengurusan Forest City akan membina jalan alternatif sepanjang satu kilometer susulan kejadian mendapan tanah di Jalan Forest City-Pelabuhan Tanjung Pelepas dekat Iskandar Puteri, petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pembinaan jalan alternatif yang bermula malam ini, akan mengambil masa 48 jam dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 Julai ini.

Beliau berkata ketika ini, jalan keluar daripada Forest City telah ditutup sepenuhnya hasil perbincangan dengan pihak pemaju, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jalan masuk ke Forest City pula katanya, akan dijadikan sebagai laluan keluar dan masuk dua hala untuk kenderaan ringan dengan kawalan ketat polis trafik.

"Semua pihak dinasihatkan untuk mengurangkan pergerakan keluar masuk ke Forest City buat masa ini dan semua kenderaan berat dilarang sama sekali," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Mohamad Fazli berkata kejadian mendapan itu hanya melibatkan runtuhan jalan raya yang menghubungkan jambatan ke Forest City.

Beliau yang melawat lokasi kejadian petang tadi berkata JKR negeri juga sedang memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut dan kajian segera sedang dibuat, sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil selain menasihatkan semua pihak agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan.

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Mohd Noh dilaporkan sebagai berkata kejadian mendapan itu melibatkan sepanjang 25 meter jalan yang berlaku pada pukul 2 petang tadi.

Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau mangsa.

-- BERNAMA