Mendiang meninggal pada hari ulang tahun - Rakan Mejar Kayamboo

Bernama
Disember 21, 2016 15:58 MYT
Gambar juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar C. Kayamboo yang dirakamkan pada Majlis Serah Terima Tongkat Kuasa Panglima TUDM di Pangkalan TUDM Subang pagi ini sebelum maut dalam nahas pesawat. - Foto Bernama
"Hari ini merupakan hari lahir Mejar Kayamboo yang ke-45, dan hari ini jugalah beliau meninggal akibat nahas pesawat terhempas petang tadi".
Demikian kata rakan seperjuangan kepada juruterbang TUDM Mejar C. Kayamboo yang maut akibat insiden pesawat jenis Beechcraft B200T yang dikendalikannya terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth pada 5.18 petang tadi.
Menurut Mejar Hassan Basri Tajul Arifin, kesedihan amat dirasai kerana rakan setugasnya itu merupakan seorang yang cukup ceria dan suka membantu rakan sekerja jika mengalami kesukaran.
"Baru pagi tadi, saya bertegur sapa dengan beliau pada Majlis Serah Terima Tongkat Kuasa Panglima TUDM yang diadakan di Pangkalan TUDM Subang, namun saya terlupa mengucapkan selamat hari lahir kepadanya," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.
Hassan, 37, yang bertugas di No 2 Skuadron, Subang, berkata mendiang Kayamboo yang berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Subang disifatkan sebagai seorang perwira yang sanggup berkorban demi tugas.
"Mejar Kayamboo sanggup meninggalkan keluarga di utara tanah air semata-mata menumpahkan kesetiaan demi menjaga keselamatan maritim negara apabila diarahkan," katanya.
Beliau mengenali mendiang sejak 2003 dan bersama-sama bertugas sebagai jurulatih di Alor Star, Kedah satu ketika dulu.
Beliau berkata mendiang merupakan seorang yang peramah dan sering menyapa setiap orang walaupun mendiang pegawai kanan.
"Mendiang juga seorang bapa dan suami yang amat mencintai isteri dan anak-anak, kerana beliau pernah berkongsi kisah hidup yang amat beliau hargai dalam setiap detik hidupnya," kata beliau.
Hassan Basri berkata mendiang Kayamboo akan terus dikenang kerana sering memudahkan urusan anggota yang lain ketika hayatnya.
Dalam kejadian pada 5.18 petang tadi, sebuah pesawat jenis Beechcraft B200T terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth, menyebabkan juruterbang Kayamboo maut, manakala tiga yang lain cedera.
Sumber polis berkata mayat Kayamboo dan kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Di BUTTERWORTH, hasrat isteri Kayamboo, S.Usha, 42, untuk menyambut ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-45 malam ini tidak kesampaian apabila menerima berita pemergian pasangan hidupnya itu.
Bapa saudara kepada Kayamaboo, A. Bikeikumaran, 58, memberitahu bahawa isteri juruterbang itu merancang untuk menyambut hari jadi suaminya selepas selesai kerja.
Beliau berkata isteri mendiang itu bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik kesihatan di Pulau Pinang.
"Anak saudara saya bertugas di TUDM Alor Setar, manakala isterinya tinggal di Sungai Nibong.
"Saya mendapat tahu berita ini daripada pihak TUDM dan memaklumkan kepada isteri anak saudara saya," katanya ketika ditemui di HSJ, di sini malam ini.
Bikeikumaran berkata pasangan itu mempunyai empat anak - dua lelaki, dua perempuan - berusia dua hingga 13 tahun.
Beliau berkata mayat juruterbang itu dijangka dibawa ke Sungai Nibong selepas bedah siasat. -- Bernama
#Beechcraft King Air 200T #Mejar C. Kayamboo #Pengkalan Udara Butterworth #Pesawat TUDM terhempas #TUDM