MALAYSIA

Mengatur kaunter minyak masak: Dua anggota penguat kuasa antara lapan ditahan

Bernama 26/09/2025 | 09:15 MYT
Lapan lelaki termasuk dua penjawat awam ditahan pegawai KPDN kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak masak bersubsidi di Pejabat KPDN Kelantan hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Dua anggota penguat kuasa antara lapan individu ditahan disyaki bertindak mengatur kaunter atau counter setting dalam sindiket penyelewengan 11,050 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dalam operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga semalam.


Ringkasan AI
  • Lapan individu termasuk dua penguat kuasa ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyelewengan 11,050 kg minyak masak bersubsidi di Kelantan.
  • Dua penjawat awam dipercayai atur kaunter pemeriksaan untuk memudahkan kenderaan sindiket melepasi sempadan; ketua sindiket berusia 28 tahun turut ditahan.
  • Nilai sitaan RM482,225 termasuk minyak masak, dua lori, Toyota Vellfire dan pacuan empat roda; kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.


Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata kedua-dua penjawat awam terbabit daripada jabatan berbeza di Rantau Panjang, berusia 27 dan 41 tahun, dipercayai membantu sindiket di kaunter pemeriksaan bagi memudahkan kenderaan membawa minyak masak bersubsidi melepasi sempadan.

"Dua penguat kuasa ini adalah kunci operasi sindiket kerana peranan mereka membolehkan kegiatan haram berlaku tanpa disedari pihak berkuasa," katanya di pejabat KPDN di sini hari ini.

Dalam operasi sama, ketua sindiket berusia 28 tahun turut ditahan.

Azman berkata suspek dipercayai dalang utama penyelewengan yang dikesan sejak 2023 dan mempunyai rekod lampau, termasuk sekurang-kurangnya tiga kes lain di Pasir Mas.

Keseluruhan sitaan berjumlah RM482,225, merangkumi minyak masak bernilai RM27,625, dua lori, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire serta sebuah pacuan empat roda.

Azman berkata siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ialah memindahkan kotak-kotak minyak masak dari lori ke dalam Toyota Vellfire sebelum dibawa ke sempadan, dan tidak menolak kemungkinan sindiket mempunyai rangkaian di Thailand.

Beliau berkata kesemua lapan individu yang ditahan direman selama empat hari, bermula hari ini hingga Isnin bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak bersubsidi dengan niat melakukan kesalahan," katanya.

-- BERNAMA




#anggota penguat kuasa #conter setting #minyak masak #KPDN kelantan