Mengenali Pemimpin Muda PBB Dr Lutfi Fadil

Tengku Faeza Mastura
September 21, 2016 10:04 MYT
Jejaka berumur 29 tahun ini telah terpilih daripada 18,000 pencalonan dari 186 buah negara hasil dari usaha dan inisiatif beliau. - Gambar Bernama
Seorang doktor dari Malaysia, Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman melakar sejarah apabila terpilih menjadi antara 17 Pemimpin Muda untuk Matlamat Pembangunan Mampan 2016 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Pengumuman dibuat pada 19 September di Social Good Summit di New York.
Doktor berusia 29 tahun ini terpilih daripada kalangan 18,000 calon dari 186 buah negara berdasarkan usaha dan inisiatif yang dilakukannya.
Inisiatif Pemimpin Muda ini dibawakan oleh Pejabat Utusan Setiausaha Agung Belia PBB dan merupakan sebahagian daripada Kerjasama Belia Sedunia untuk Matlamat Pembangunan Mampan yang dilancarkan pada 2015.
Siapakah Dr Mohd Lutfi Fadil?
• Seorang doktor siswazah di Hosptal Sungai Buloh
• Pengasas dan Pegawai Eksekutif di Hospital Beyond Boundaries (HBB)
• Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dan penerima Anugerah Tun Dr Ismail atas pencapaian pelajar terbaik
• Ahli aktif Persatuan Pelajar Perubatan Malaysia (SMMAMS) dan merupakan pengerusi bagi tempoh 2011-2012
• Pendebat Antarabangsa terbaik untuk Debat Kesihatan Sedunia IFMSA pada 2012

Bersama dgn Dr Lufti Fadil Lokman penerima Anugeralh United Nations SDG Young Leader. Negara berbangga dgn beliau. pic.twitter.com/cJ920aZvyE

— Ahmad Zahid Hamidi (@Zahid_Hamidi) September 20, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Apa yang mendorong beliau sehingga kini?
• Penglibatan di dalam kerja sukarelawan membuatkan beliau sedar akan jurang perkhidmatan kesihatan dalam masyarakat.
• Kecederaan yang dihadapi sewaktu tahun akhir ijazah memberikan beliau kesedaran dan memotivasi beliau untuk memulakan sebuah Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai HBB.
• Beliau telah menjalani Latihan Industri di Jabatan Kesihatan Awam dan Persekitaran di Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang melibatkan banyak projek kesihatan sedunia.
Hospital Beyond Boundaries
HBB bertujuan untuk menambah baik kesihatan masyarakat yang lemah melalui usaha perkhidmatan kesihatan yang mampan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk membina hospital di tempat yang paling memerlukan.
Projek pertama yang dijalankan adalah di Phnom Penh, Kemboja dan sebagai pengarah HBB, beliau ingin memberikan impak kepada kesihatan menyeluruh di Asia Tenggara dan ingin bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada masa hadapan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai usaha dan perkembangan HBB di laman web Hospital Beyond Boundaries.
#Dr Lutfi Fadil #PBB #Pemimpin Muda PBB #UN Young Leader