NATIONAL
Mengenang Shebby: Tangisan, pelukan iringi perjalanan akhir legenda bola sepak

Abu mendiang akan mula diambil pada Ahad dan kemudian dilepaskan di Kluang, Johor bagi menunaikan permintaan mendiang yang mahukan agar abunya dilepaskan di sana. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Serbegeth Singh selamat disemadikan di Pusat Pembakaran Mayat di ibu kota pada sekitar 4.45 petang Jumaat.
Difahamkan, abu mendiang akan mula diambil pada Ahad dan kemudian dilepaskan di Kluang, Johor bagi menunaikan permintaan mendiang yang mahukan abunya dilepaskan di sana.
Sebelum itu sejak dari jam 10.45 pagi, keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan berhimpun di pusat pembakaran itu bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pemain kebangsaan itu.
Suasana pilu, sayu dan sebak hampir setiap masa memenuhi ruang di pusat itu.

Harbans (dua dari kanan) sebak ketika menatap buat kali terakhir wajah Shebby.
Begitupun, sanak saudara dan rakan-rakan, semuanya menyampaikan kata-kata semangatnya, memeluk erat ibu kepada dua anak itu sambil berkongsikan ucapan takziah dan doa buat mendiang.
Masuk waktu tengah hari, semakin ramai datang memberikan penghormatan terakhir dan keadaan bertambah sayu apabila adik-adik Shebby turut sama menitiskan air mata.
Pemergian secara tiba-tiba itu benar-benar mengejutkan apatah lagi mereka tahu, Shebby seorang yang ‘fit’, tiada masalah kesihatan bahkan tidak merokok juga.

Ahmad Faizal turut meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
Ia turut dihadiri bekas pemain dan rakan seperjuangan Shebby seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Santokh Singh dan Subadron Aziz.
Ahmad Faizal ketika ditemui mengakui pemergian Shebby amat dirasai, bukan sahaja kepada peminat dari zaman mendiang aktif bermain malah zaman sekarang ketika menjadi pengulas sukan.
“Saya telah pun menziarahi keluarga mendiang dan bersyukur kerana melihat kepada isteri dan dua anak beliau, mereka kelihatan begitu kuat.
“Mereka tentunya turut berasa bangga dengan pencapaian mendiang sewaktu hidup sebagai legenda bola sepak yang begitu diminati ramai,” katanya ketika ditemui di lokasi persemadian.
Dollah dan Zainal juga sempat menceritakan kenangan mereka bersama mendiang yang mereka sifatkan sebagai insan yang baik dan peramah.
“Shebby ini pada saya cukup disenangi ramai. Kalau dengan saya, dia menggunakan bahasa namanya. Itu yang masih saya ingat. Dia cakap Dollah, Shebby, menggunakan nama dia.
“Nampak mesranya dia dengan kawan-kawan dia semua. Jadi dengan kehilangan beliau, saya rasa macam tak percaya tapi kita kena terima hakikatnya.
“Apa sekalipun, takziah buat keluarga, sebab keluarga dia pun saya rapat juga, Harbans Kaur dan anak-anaknya. Satu kehilangan…” kata Dollah.

K Rajagobal dan beberapa bekas pemain bola sepak tempatan turut hadir memberikan penghormatan terakhir buat sahabat mereka.
“Kami begitu akrab kerana lama beraksi di dalam kancah bola sepak negara, umur pun tak berapa jauh.
“Beliau banyak saya ambil contoh dan tauladan dari beliau kerana beliau seorang yang disiplin dan mempunyai ilmu bola sepak yang cukup tinggi.
“Beliau juga banyak membuat bacaan berkaitan bola sepak daripada zaman beliau masih main sehinggalah hari ini. Satu kehilangan besar buat saya dan bola sepak negara,” ujarnya.

Pemergian Shebby merupakan kehilangan besar buat arena bola sepak negara.
Malaysia kehilangan seorang legenda, pengkritik yang selalu melontarkan kata-kata pedas namun jujur dan pastinya, pencinta selamanya bola sepak negara.
Damailah di sana, Shebby…
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami