[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: Lebuhraya Bandar Cassia ditukar nama ke Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi

Pia Ernadya 16/04/2025 | 10:12 MYT
Menurut Kon Yeow, kputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu. - Foto FB Kon Yeow
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penghargaan atas jasa besar beliau kepada negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada hari ini bersetuju menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi," kata Kon Yeow.
“Cadangan dibawa oleh saya ini adalah amat siginifikan dalam menghargai jasa dan bakti Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah membawa impak pembangunan kepada negeri ini sepanjang perkhidmatan sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009,” tambahnya dalam hantaran di
Facebook pada Rabu.
"Pemergian Tun Abdullah merupakan suatu kehilangan besar kepada negara terutamanya negeri Pulau Pinang dan antara sumbangan terbesarnya adalah Jambatan Kedua Pulau Pinang.
“Sebagai anak jati Pulau Pinang kelahiran Bayan Lepas, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang merupakan 'hadiah' terbesar Allahyarham Tun Abdullah kepada penduduk Pulau Mutiara apabila beliau mengumumkan projek itu dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) di Parlimen pada tahun 2003.
“Impak jambatan kedua ini ialah kemampuannya dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi antara Batu Maung (bahagian pulau) dan pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai zon perindustrian baharu khasnya,”” ujarnya.
“Memegang gelaran sebagai bandar masa depan Pulau Pinang, Allahyarham Tun Abdullah telah menamakan Bandar Cassia pada 24 Ogos 2004 dan memperoleh kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui Pelan Induk Bandar Cassia pada 26 Oktober tahun yang sama.
“Penggunaan nama Bandar Cassia sebagai Bandar Baharu di Batu Kawan kemudiannya telah diluluskan oleh MMK pada 10 Ogos 2016,” katanya.
Justeru, Kerajaan Negeri ingin terus mengekalkan legasi Allahyarham Tun Abdullah dengan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Antara sumbangan lain yang diterima oleh Kerajaan Negeri semasa pentadbiran beliau termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang pertama dengan peruntukan RM1 bilion; pembangunan Penang Sentral (RM2.7 bilion); Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).
Dalam pada itu, Kon Yeow berharap semua jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh beliau akan sentiasa tersemat dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengarahkan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan terakhir pada Jumaat ini.
“Pengibaran bendera negeri separuh tiang itu dilaksanakan membabitkan semua premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri.
“Malah, pemilik-pemilik premis bukan kerajaan juga diseru untuk berbuat demikian sebagai tanda penghormatan kepada Tun Abdullah,” tambahnya.
#Abdullah Ahmad Badawi #Chow Kon Yeow #Bandar Cassia #Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi