NATIONAL
Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: NCER, J-QAF, industri halal legasi Pak Lah, Kedah berdukacita
Kerajaan Negeri Kedah menzahirkan rasa dukacita atas pemergian mantan Perdana Menteri, Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir, malam tadi.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah menzahirkan rasa dukacita atas pemergian mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir, malam tadi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dmenyifatkan, pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam aspek pembangunan modal insan.
“Sesungguhnya, negara kehilangan seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada tanah air.
"Allahyarham Tun Abdullah menerajui pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri kelima bermula 31 Oktober 2003 hingga 2 April 2009.
"Sepanjang pentadbirannya, beliau memperkenalkan pelbagai inisiatif pembangunan, termasuk penubuhan Koridor Pembangunan Ekonomi Utara (NCER) yang masih giat dilaksanakan sehingga kini," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Muhammad Sanusi berkata, selain bidang ekonomi, Allahyarham turut dikenang atas sumbangan dalam sektor pendidikan Islam.
"Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab, Fardu Ain) yang mula dilaksanakan di sekolah-sekolah pada tahun 2004.
“Beliau juga dikenali atas usaha memajukan industri halal, mengamalkan dasar kepimpinan terbuka serta memperkasakan seni budaya kebangsaan, terutamanya dalam memperkenalkan batik sebagai warisan budaya negara,” tambah Sanusi.
Menurut beliau lagi, jasa dan bakti Allahyarham Abdullah kepada rakyat dan negara akan terus dikenang dan dianggap sebagai amal jariah yang berpahala di sisi Allah SWT.
“Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah buat Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” kata Menteri Besar Kedah itu lagi.