[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: Negara kehilangan tokoh besar - Hishammuddin

Shaznina Rozman 15/04/2025 | 00:40 MYT
Menurut Hishammuddin, pemergian Abdullah merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia yang menghargai kepimpinan dan keperibadian Allahyarham. - Foto Instagram Hishammuddin
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Menerusi satu hantaran di akaun Instagram peribadinya, beliau menyatakan kesedihan dan penghargaan terhadap jasa serta sumbangan besar Allahyarham kepada tanah air.
“Berasa amat sedih dan sungguh dukacita malam ini. Perginya seorang insan yang cukup saya hormati dan hargai sekian lama
"Tak terhitung jasa, bakti dan sumbangan Allahyarham. Tanah air, saya dan kita semua semestinya telah banyak terhutang budi," tulis beliau.
Menurut Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan, pemergian Abdullah merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia yang menghargai kepimpinan dan keperibadian Allahyarham.
“Allahyarham akan kekal dalam lipatan sejarah dan ingatan kita semua sebagai insan serta pemimpin disegani, sampai bila-bila," tambahnya.
Beliau turut menjemput seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ahli keluarga diberikan ketabahan dalam menghadapi saat sukar ini.
“Marilah kita semua merafakkan doa, semoga ahli keluarga Allahyarham tabah melalui detik-detik yang amat sukar ini dan semoga roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat Allah. Al-Fatihah,” katanya mengakhiri hantaran tersebut.
Abdullah, Perdana Menteri Malaysia kelima, meninggal dunia semalam pada jam 7:10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
#Hishammuddin Hussein #Abdullah Ahmad Badawi #Pak Lah meninggal dunia #Pengebumian Negara #UMNO