[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: 'Negarawan ulung, tinggi pekerti' - Sultan Pahang

Bernama 18/04/2025 | 08:40 MYT
Al-Sultan Abdullah bertitah di bawah kepemimpinan perdana menteri kelima itu juga, lahir gagasan besar yang mencerminkan roh Islam dan nilai sejati iaitu Islam Hadhari.
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja tokoh dikenang kerana jasanya kepada negara, tetapi juga kerana kelembutan budi dan ketinggian pekerti.
Al-Sultan Abdullah bertitah di bawah kepemimpinan perdana menteri kelima itu juga, lahir gagasan besar yang mencerminkan roh Islam dan nilai sejati iaitu Islam Hadhari.
"Dengan penuh rasa hiba dan dukacita, beta menzahirkan ucapan takziah atas pemergian seorang negarawan ulung dan juga bapa pembangunan modal insan, Allahyarham Tun Abdullah," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama paduka-paduka anakanda.
Selain itu, baginda bertitah Allahyarham juga dikenang atas jasa memacu pembangunan wilayah menerusi pelancaran koridor ekonomi wilayah antaranya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Iskandar Malaysia.
Pembangunan wilayah itu telah membuka lembaran baharu dalam pemerkasaan ekonomi luar bandar dan merapatkan jurang pembangunan antara negeri.
"Sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat negara, namun legasi beliau tetap hidup, terpahat dalam sejarah, tersemat dalam sanubari rakyat dan terus menjadi obor kepada perjuangan membina Malaysia yang lebih inklusif, progresif dan berteraskan nilai.
"Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah ditempatkan dalam kalangan para solihin dan dirahmati Allah SWT," titah baginda.
Tun Abdullah, yang mesra dikenali sebagai "Pak Lah" menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara di ibu negara pada Isnin malam dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.
-- BERNAMA
#Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi #Sultan Pahang #Al-Sultan Abdullah