NATIONAL

Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: Sultan Selangor zahir dukacita, kongsi foto kenangan

Astro Awani 15/04/2025 | 04:00 MYT
Perkongsian tersebut turut memaparkan gambar yang dirakam pada tahun 2001 ketika Allahyarham yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.
KUALA LUMPUR : Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada usia 85 tahun.
Baginda berdua turut berkenan menzahirkan perutusan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham khususnya Tun Jeanne Abdullah.
Menerusi perkongsian di Facebook Selangor Royal Office, baginda yang telah mengenali Allahyarham sejak lewat 1960-an, menyifatkan beliau sebagai negarawan yang berdedikasi dan tenang, serta diingati sebagai pemimpin yang amat mementingkan kesejahteraan rakyat.
"Di atas jasa dan bakti Allahyarham, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengurniakan Allahyarham Tun Abdullah dengan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) pada tahun 1992 dan Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) pada tahun 2000.
"Duli-Duli Tuanku mendoakan agar roh Allahyarham Tun Abdullah dicucuri rahmat Allah S.W.T. dan ditempatkan di kalangan para solihin," titah baginda.
Perkongsian tersebut turut memaparkan gambar yang dirakam pada tahun 2001 ketika Allahyarham yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ketika itu Pemangku Raja Selangor di Istana Mestika.
Manakala, gambar kedua yang dikongsikan dirakam di Istana Alam Shah pada tahun 2003 semasa Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Sultan Selangor.
#Sultan Sharafuddin Idris Shah #Tengku Permaisuri Norashikin #Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi #penghormatan