KUALA LUMPUR:Selain sifat keibuan yang dibawa Tun Rahah Mohamed Noah, balu Tun Abdul Razak Hussein itu juga disifatkan tenaga perkasa di sebalik kejayaan Perdana Menteri kedua itu.

Budayawan Prof Madya Dr Lim Swee Tin berkata, Allahyarham juga antara individu yang sentiasa membawa ketenangan, khususnya ketika era pemerintahan Tun Razak.

Ini kerana, menurut beliau, pemerintahan Perdana Menteri ketika itu disifatkan sangat sukar, lebih-lebih lagi susulan kejadian peristiwa hitam 13 Mei 1969.

"Saya melihat pemerintahan Tun Razak sebagai Perdana Menteri sebenarnya berhadapan dengan satu era yang sukar dan bukan mudah, ekoran tragedi 13 Mei 1969.

"Pun begitu, Tun Razak mampu membina kembali negara yang sedikit tercalar melibatkan insiden bersejarah itu.

"Ketika itu bukan mudah, tetapi beliau bukan sahaja menyatu padukan rakyat, tetapi membina semula Malaysia.

"Saya melihat, siapakah di sisi Tun Razak? Dan beliau adalah Tun Rahah, yang merupakan tenaga perkasa di sebalik kejayaan, bersama-sama dengan Tun Razak, menggembeling tenaga memastikan Malaysia berada di landasan tepat," katanya kepada Astro AWANI, di sini, hari ini.

Lim yang juga pakar Bahasa Melayu menambah, di sebalik lemah lembut dan ketenangan yang menjadi keperibadian Allahyarham, beliau turut memainkan peranan besar dalam memacu kesedaran kepada masyarakat ke arah kebaikan sejagat.

"Sebenarnya, Tun Rahah juga berperanan besar dalam pelbagai segi dan lapangan untuk sama-sama memacu pembangunan dan kesedaran kepada masyarakat ke arah pencapaian terbaik yang ada pada hari ini.

"Contoh teladan yang beliau bawa dalam situasi rumit sedemikian bukan sesuatu yang mudah, namun nilai kasih sayang yang bawanya dapat dirasai sehingga mampu melembutkan hati semua rakyat Malaysia ketika itu," katanya.

Tun Rahah, 87 tahun, meninggal dunia sekitar jam 4.45 petang Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.

Kerajaan mengumumkan Allahyarham akan diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Negara dan jenazahnya bakal disemadikan di Lingkaran Makam Pahlawan.