KUALA LUMPUR: Beberapa menteri termasuk Ahli Parlimen daripada blok pembangkang dilihat tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada malam ini bagi menghadiri taklimat berhubung tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Individu paling awal tiba ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat turut hadir.

Bagi blok pembangkang, beberapa Ahli Parlimen turut hadir termasuk Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham; Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Difahamkan mesyuarat bermula pada jam 8.45 malam tadi.

Anggota polis juga dilihat mengawal di sekitar lokasi taklimat dengan beberapa anggota dilihat berada di dalam dan luar bangunan.

Semua Menteri dan Ahli Parlimen yang menyertai taklimat juga dilihat meletakkan telefon bimbit masing-masing di kaunter hadapan.

Difahamkan, petugas yang menjaga kaunter tersebut ialah kakitangan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dari Jabatan Perdana Menteri.

Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan semua menteri dan Ahli Parlimen yang hadir setakat ini.