KUALA LUMPUR: Pelantikan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai salah seorang Pengerusi Bersama dalam Lembaga Pengarah Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) disifatkan tepat kerana agensi tersebut mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, amalan pelantikan menteri sebagai Lembaga Pengarah dalam MHTC telah dimulakan sejak zaman kerajaan terdahulu lagi.

Begitu pun, beliau berkata, KKM mengambil keputusan untuk mengurangkan bilangan Lembaga Pengarah, yang sebelum ini melibatkan tiga menteri daripada Kementerian Kesihatan (KKM); Ekonomi; serta Kewangan.

"Saya sebenarnya tidak meneruskan (amalan kerajaan terdahulu), cuma saya mengurangkan. Tempoh hari, dia (Lembaga Pengarah) ada tiga menteri iaitu KKM, Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan. Tetapi saya potong, tinggal Menteri Ekonomi dan MHTC.

"Bagi saya, itu adalah okay. Berkaitan dengan MHTC, kita kena faham, KKM ini bukan operasi sahaja, tetapi KKM juga ada unsur-unsur untuk menambah ekonomi negara.

"Jadi MHTC ini adalah satu agensi yang boleh kita gunakan untuk menambah ekonomi negara. Sudah tentu bila ada Menteri Ekonomi, tepat lah sekali," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab celahan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi yang bertanya mengenai pelantikan Rafizi dan Dr Zaliha sebagai Pengerusi Bersama dalam Lembaga Pengarah MHTC pada
sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) bagi Kementerian Kesihatan, hari ini.

Zulkafperi kemudian membangkitkan persoalan mengapa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak dimasukkan bersama dalam MHTC.

Menjawab perkara itu, Dr Zaliha berkata KKM sentiasa melakukan sesi libat urus dengan MOTAC, dan ia tidak menjadi masalah jika kementerian itu tidak diletakkan dalam Lembaga Pengarah.

Jenama industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia, Malaysia Healthcare, telah diwujudkan pada 2011, yang antaranya terdiri daripada kementerian dan agensi kerajaan, kemudahan penjagaan kesihatan swasta utama Malaysia, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, serta hotel.

Sementara itu, Dr Zaliha turut memaklumkan KKM memberi jaminan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau Generasi Penamat (GEG) akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum persidangan berakhir pada 30 November ini.

"Ringkas sahaja, insya-Allah kita akan bentangkan RUU Kawalan Produk Merokok sebelum berakhir sesi Parlimen pada kali ini," ujar beliau.