Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Menteri Kabinet: Amirudin serah pada kebijaksanaan PM

Bernama 10/12/2025 | 11:00 MYT
Amirudin mengulangi pendiriannya untuk terus kekal menerajui kepimpinan negeri Selangor sehingga penggal pentadbiran semasa tamat. - Gambar fail
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pelantikannya sebagai menteri Kabinet.


Ringkasan AI
  • Amirudin Shari menyerahkan keputusan pelantikannya sebagai menteri Kabinet kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tetapi menegaskan keinginannya untuk terus memimpin Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran.
  • Beliau berazam untuk menyiapkan perancangan yang telah dibuat bagi negeri Selangor selama tempoh baki sebagai Menteri Besar, dengan harapan dapat memenangi negeri tersebut secara signifikan.
  • Mesyuarat Majlis Presiden PH diumumkan berjalan harmoni, dengan keputusan untuk terus maju selepas PRN Sabah, sejajar dengan usaha untuk memperkukuh dan mendapatkan semula sokongan rakyat.


Bagaimanapun Amirudin mengulangi pendiriannya untuk terus kekal menerajui kepimpinan negeri Selangor sehingga penggal pentadbiran semasa tamat.

Katanya dengan tempoh berbaki yang masih ada sebagai menteri besar membolehkan beliau untuk melengkapkan perancangan yang telah dibuat untuk Selangor.

"Jadi lebih baik sempurnakan kerja di sini dahulu untuk pastikan negeri ini kembali kita menangi dengan signifikan dan dapat melengkapkan perancangan sedia ada.

"Kalau dua tahun biasanya tak banyak benda baru kita boleh buat dengan banyak dan sempurna," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kepada Masjid dan Surau Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media yang menyatakan beliau antara yang berpotensi dibawa ke peringkat Persekutuan bagi memperkukuh pentadbiran negara dalam rombakan Jemaah Menteri akan datang.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 3 Dis lepas dilaporkan berkata Perdana Menteri akan memutuskan senarai menteri dan timbalan menteri Kerajaan MADANI kelak, selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara.

Sementara itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam berjalan dengan harmoni dan PH mengambil keputusan untuk terus ke hadapan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook sebelum ini merupakan antara langkah untuk terus ke hadapan.

"Ia untuk PH memperkukuh, mempelajari, membetulkan kesilapan dan kembali untuk mendapatkan sokongan yang mungkin terkesan selepas PRN Sabah," katanya.

-- BERNAMA



#Amirudin Shari #rombakan kabinet #menteri Kabinet #Perdana Menteri