KUALA LUMPUR: Barisan Menteri Kabinet hari ini menyeru seluruh umat Islam merebut keberkatan Hari Arafah menerusi amal ibadah, penghayatan nilai perpaduan serta doa untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijah setiap tahun ialah hari penting dalam Islam kerana menandakan kemuncak ibadah haji, iaitu ketika jutaan jemaah dari seluruh dunia berkumpul untuk berwukuf di Padang Arafah.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata umat Islam wajar mengambil peluang pada hari yang penuh kemuliaan dan keberkatan untuk memperbanyakkan doa, zikir, istighfar dan memohon keampunan Allah SWT.
“Selamat berpuasa Hari Arafah. Moga kita semua sentiasa berada dalam rahmat, kasih sayang dan perlindungan-Nya,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pada Hari Arafah, jutaan jemaah haji berkumpul tanpa mengira bangsa, keturunan, darjat mahupun status untuk melaksanakan rukun haji terpenting iaitu wukuf, dengan berpakaian dan berdiri di bumi yang sama serta menghadap Tuhan yang satu.
“Inilah ibrah besar yang perlu kita hayati daripada Hari Arafah ini dalam membina negara bangsa dengan konteks Malaysia MADANI iaitu sebuah negara yang diraikan dengan kepelbagaian, diperkukuh dengan perpaduan dan dipimpin dengan nilai ihsan serta hormat sesama insan.
“Semoga semangat wukuf di Arafah ini terus menyatukan hati kita semua dalam memelihara keharmonian, memperkukuh perpaduan dan membina masa depan Malaysia yang lebih baik untuk seluruh rakyat,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, khususnya petani, penternak dan nelayan yang sentiasa berusaha memastikan bekalan makanan negara terus terjamin.
“Semoga segala penat lelah mereka dipermudah, dikurniakan hasil yang baik, rezeki yang melimpah serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya yang turut mengajak umat Islam memperbanyakkan doa kepada keluarga, sahabat dan negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula berkata Hari Arafah ialah hari yang mulia dalam Islam, penuh rahmat, keampunan dan keberkatan.
Beliau berkata bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, hari itu menjadi peluang istimewa untuk memperbanyakkan amal ibadah, doa, zikir, istighfar serta berpuasa sunat kerana ganjarannya amat besar.
“Marilah kita bersama-sama merebut keistimewaan Hari Arafah dengan hati yang tulus dan penuh pengharapan, memperbaharui keinsafan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT agar setiap doa diangkat dan diperkenankan oleh-Nya,” katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata Hari Arafah mengingatkan umat Islam tentang erti kehambaan, keinsafan dan kekuatan doa di sebalik kesibukan serta cabaran kehidupan.
“Marilah kita memperbanyakkan istighfar, mendoakan kesejahteraan insan yang kita sayangi serta memohon agar Allah SWT terus memimpin langkah kehidupan kita dengan rahmat dan petunjuk-Nya.
“Moga segala amalan diterima dan seluruh umat Islam dikurniakan keberkatan, keampunan serta ketenangan jiwa. Semoga dhuyufurrahman yang sedang berwukuf di Arafah dipermudah segala urusan dan memperoleh haji yang mabrur, insya-Allah,” katanya.
-- BERNAMA