NATIONAL
Menteri Kesihatan antara tiga rakyat Malaysia terima anugerah WHO
Dr Noraryana (kiri), Dr Dzulkefly (dua dari kiri) dan Dr Murallitharan Munisamy (kanan) penerima bersama anugerah ‘World No Tobacco Day Award’ daripada Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto WHO
SHAH ALAM: Tiga rakyat Malaysia telah dianugerahkan ‘World No Tobacco Day Award’ oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa sesi pembukaan Perhimpunan Kesihatan Sedunia tahunan baru-baru ini.
Penerima anugerah berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noraryana Hassan dan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Profesor Madya Dr Murallitharan Munisamy.
Setiausaha Agung MCTC, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, anugerah global itu yang diberikan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei, mengiktiraf sumbangan individu, organisasi dan jabatan kerajaan dari seluruh dunia dalam usaha kawalan tembakau.
Katanya, ini merupakan kali pertama anugerah tersebut diberikan kepada penerima dari Malaysia.
“Anugerah ini mengiktiraf peranan mereka dalam pembangunan dan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024.
“Akta tersebut adalah hasil inisiatif yang digerakkan sejak Malaysia meratifikasi Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) pada tahun 2005,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 berlangsung di Geneva dari 19 hingga 27 Mei 2025 dengan tema ‘Satu Dunia untuk Kesihatan’ dan disertai wakil dari 193 negara anggota sebagai badan pembuat keputusan tertinggi WHO.
Malaysia juga dijangka membentangkan beberapa intervensi termasuk mengenai Resolusi Kesihatan Paru-paru Bersepadu.
Sementara itu, Dzulkefly menyifatkan anugerah tersebut sebagai kemenangan buat seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, ia adalah bukti komitmen semua pihak dalam melindungi generasi kini dan akan datang daripada kesan buruk produk tembakau dan vape.
“Membawa akta ini ke Parlimen menuntut kita mengharungi pelbagai cabaran dari sudut perundangan, ekonomi dan sosial termasuk pandemik Covid-19 serta pertukaran kerajaan.
“Walaupun akta ini telah diluluskan, usaha kawalan tembakau terus diperkukuh termasuk menangani isu baharu seperti kebimbangan terhadap vape yang timbul minggu lalu,” jelasnya.
Bagi Dr Noraryana, anugerah ini mencerminkan usaha kolektif dan semangat kerja berpasukan melibatkan KKM, agensi kerajaan lain serta masyarakat awam.
“Kita telah berjaya meluluskan akta ini dan ia merupakan satu pencapaian besar. Namun, kerja kita belum selesai.
“Cabaran sebenar adalah dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan untuk memastikan kesannya bermakna terhadap kesihatan awam,” katanya.
Sementara itu, Dr Murallitharan menekankan peranan penting masyarakat sivil dalam menyokong dasar kesihatan negara.
“Majlis Kawalan Tembakau Malaysia menghimpunkan organisasi profesional kesihatan seperti Persatuan Perubatan Malaysia, kumpulan komuniti dan institusi akademik untuk meningkatkan tahap kesihatan negara.
“Pengiktirafan ini adalah milik semua penyumbang dahulu, kini dan akan datang,” ujarnya. - Sinar Harian