Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menafikan laporan yang berkata Putrajaya akan membubarkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada saat- saat orang ramai masih keliru dengan status sebenar pelaburan dana dan aset syarikat itu.

Ahmad Husni menolak dakwaan itu ketika diminta mengesahkan laporan Bernama yang menyatakan 1MDB kemungkinan akan dibubarkan berikutan perjanjian dengan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) dan Aabar Investments, yang boleh mengurangkan bebanan hutang syarikat itu sebanyak RM16 billion, lapor The Malay Mail Online hari ini.

"Tidak benar," kata Husni yang kini merupakan jurucakap kerajaan bagi menjawab persoalan berhubung syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan itu dalam satu teks mesej ringkas kepada The Malay Mail Online.

Bernama pada 29 Mei lalu melaporkan Kabinet dimaklumkan bahawa 1MDB dijangka dibubarkan, tetapi cabaran utamanya ialah paras hutangnya yang tinggi berjumlah RM42 bilion dalam akaun kewangan terakhirnya.

“Bagaimanapun, perjanjian yang dicapai dengan IPIC dan Aabar yang berpangkalan di Abu Dhabi itu akan membantu mengurangkan hutang sebanyak RM16 bilion dan sebagai pertukaran, 1MDB akan menyediakan kepada IPIC dan Aabar sejumlah aset kewangan termasuk unit yang dipegang dalam akaun BSI Singapore Syarikat,” lapor agensi berita itu.

Bagaimanapun dalam laporan Bernama itu tidak menyebut mana-mana sumber juga tidak mengulas lanjut mengenai apakah bentuk aset-aset ini selain tidak menjelaskan "unit" kontroversi dalam Bank BSI.

BACA : IPIC akan suntik AS$1 bilion kepada 1MDB - Husni Hanadzlah

BACA : Pelan Hala Tuju 1MDB dibentang di mesyuarat Kabinet

Isu 1MDB sehingga hari ini hebat dikritik pelbagai pihak termasuk menimbulkan pelbagai persoalan dalam beberapa aspek pelaburan yang dibuat oleh syarikat pembangunan strategik itu yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.