Menteri Luar China lawat Malaysia hari ini

Afiezy Azaman
Ogos 11, 2023 02:30 MYT
Menteri Luar China, Wang Yi (gambar) akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini dan dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar fail REUTERS
KUALA LUMPUR: Menteri Luar China, Wang Yi akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, ia merupakan lawatan kali keenam beliau ke Malaysia sebagai Menteri Luar China.
"Semasa lawatan ini, Wang Yi dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatan beliau, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
"Lawatan Wang Yi ke Malaysia akan memberi peluang terbaik untuk kedua-dua pihak membincangkan serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
"Lawatan ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan strategik antara kedua-dua negara, merangkumi pelbagai bidang kerjasama untuk faedah bersama," kata kenyataan itu lagi.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan China.
Kata Wisma Putra, kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun hadapan.
"Ini jelas membuktikan persahabatan yang telah terjalin lama serta hasil kerjasama teguh dalam pelbagai sektor," jelas Wisma Putra.
Sejak sedekad lalu, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM487.13 bilion (AS$110.62 bilion), peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun 2021.
#Menteri Luar China #wang yi #lawatan rasmi ke Malaysia #PM Anwar Ibrahim