[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

Menteri Luar ke Myanmar, jangka adakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi

Bernama 09/10/2025 | 03:20 MYT
Sewaktu lawatan kerja itu, Mohamad antara lain bakal membuat kunjungan hormat ke atas Hlaing dan Saw yang juga Menteri Perancangan Kebangsaan SSPC Myanmar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berlepas ke Myanmar untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi dan rakan sejawatnya.

"Ke Myanmar untuk bertemu dan berbincang dengan Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara (SSPC) Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Perdana Menteri U Nyo Saw serta rakan sejawat U Than Swe," tulis beliau di laman Facebook miliknya pagi ini.

Beliau turut menyatakan tujuan beliau ke negara bergolak itu kerana pelanggaran gencatan senjata baru- baru ini yang "menggugat usaha pelan damai dan memburukkan lagi keadaan."

Hantaran beliau itu turut disertakan sekeping gambar beserta kapsyen, "Di Pengkalan Udara TUDM untuk berlepas ke Nay Pyi Taw, pusat pentadbiran kerajan Myanmar."

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan lawatan Mohamad ke Myanmar yang dijadualkan pada 19 Sept ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra mengesahkan Mohamad mengadakan lawatan kerja sehari ke Nay Pyi Taw, Myanmar.

Menurut Wisma Putra, ia sejajar dengan keputusan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 pada Julai 2025.

Mohamad akan diiringi oleh Utusan Khas Pengerusi ASEAN Mengenai Myanmar Tan Sri Othman Hashim.

Sewaktu lawatan kerja itu, Mohamad dijadualkan akan membuat kunjungan hormat ke atas Hlaing dan Saw yang juga Menteri Perancangan Kebangsaan SSPC Myanmar.

Menteri Luar turut akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Swe.

Semasa pertemuan beliau dengan para pemimpin kanan SSPC Myanmar, Mohamad antara lain, akan menyeru pelaksanaan penuh dan bermakna Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN (ASEAN Five-Point Consensus - 5PC), khususnya dari sudut penghentian keganasan, bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, serta dialog terangkum dengan para pemegang taruh Myanmar.

Kementerian itu berkata isu pilihan raya yang dirancang untuk diadakan di Myanmar juga dijangka akan dibincangkan semasa pertemuan-pertemuan tersebut.

Malaysia, kata Wisma Putra menegaskan bahawa libat urus dengan pihak SSPC Myanmar itu diadakan di bawah kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN bagi menyokong keamanan, kestabilan dan pembangunan Myanmar.

Malaysia kekal fokus dalam menggalakkan penyelesaian kepada krisis di Myanmar yang dimiliki dan diterajui oleh Myanmar, dengan sokongan penuh ASEAN.

Lawatan kerja itu juga merupakan bukti komitmen tidak berbelah bahagi ASEAN terhadap keamanan, kestabilan dan penyelesaian kukuh di Myanmar.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, akan terus mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh Myanmar ke arah mencapai keamanan dan perdamaian kebangsaan melalui pendekatan terangkum dan mampan.

-- BERNAMA

#Mohamad Hasan #Myanmar #lawatan kerja #gencatan senjata