Menteri Luar lantik dua lagi penasihat khas

Astro Awani
Januari 7, 2022 10:04 MYT
Pengerusi Gerakan Pahang, Ranndy Yap Kim Heng (kiri) sebagai penasihat khas Mengenai Asia Timur, manakala Pengurus Besar Yayasan Felda, Mohd Banuri Aris sebagai penasihat Khas Hal Ehwal Kebajikan Antarabangsa. - Gambar SINAR HARIAN
KUANTAN: Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengumumkan pelantikan dua orang lagi penasihat khas bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Hal Ehwal Kebajikan Antarabangsa.
Pengerusi Gerakan Pahang yang juga seorang ahli perniagaan, Datuk Ranndy Yap Kim Heng dilantik sebagai penasihat khas Kepada Menteri Luar Mengenai Asia Timur, manakala Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris pula sebagai penasihat Khas Hal Ehwal Kebajikan Antarabangsa berkuat kuasa Oktober dan November lalu.
Saifuddin yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota menegaskan, pelantikan itu disebabkan bidang pengalaman mereka yang belum lagi wujud di Wisma Putra.
Bahkan, apa yang paling penting juga, jelas beliau, pelantikan kedua-dua inividu berkenaan tidak membabitkan sebarang kos tambahan kepada kementerian.
“Ini adalah semata-mata untuk menambahkan lagi maklumat dan meningkatkan lagi profesionalisme kami di Wisma Putra,” kata beliau.
Saifuddin berkata demikian dalam sidang media bantuan bencana banjir di pejabat khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini, pada Jumaat.
Saifuddin memaklumkan, walaupun kakitangan yang mempunyai kepakaran di Kementerian Luar sudah mencukupi, namum keputusan melantik Randdy dan Mohd Banuri dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki mereka.
Pada November lalu, Saifuddin melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nazri sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Datuk Seri Eizlan Yusof sebagai Perunding Kreatif di Kementerian Luar.
Beliau menjelaskan, lantikan kedua bekas pelakon itu adalah bersifat 'khidmat negara' di mana Ahmad Idham meletakkan jawatan JUSA B dan turun ke jawatan Gred 54, manakala Eizlan tidak menerima sebarang gaji.
#Menteri Luar #Penasihat Khas #Ranndy Yap Kim Heng #Mohd Banuri Aris