NATIONAL
Menteri terkejut ratusan pekerja kilang berhimpit dalam kontena bau hancing, hapak

SARAVANAN: Saya amat sedih melihat keadaan ini... walaupun kita pernah lihat ini ketika dijajah British sebelum kemerdekaan. -Astro AWANI
KAJANG:"Hamba zaman moden... malah keadaan lebih teruk berbanding prakemerdekaan."
Itu reaksi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan ketika mengadakan lawatan mengejut di kemudahan penginapan pekerja di sebuah kilang sarung tangan di Batu 13, Kajang pada Isnin.
"Saya masih tidak boleh percaya wujud tempat macam ini di Malaysia dan masih tidak dapat pasti bagaimana mereka boleh hidup dalam keadaan kotor dan teruk begini.
"Saya panggil ini sebagai modern slavery (penghambaan moden), majikan perlu pastikan nasib mereka terbela.
"Patutnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dah kenal pasti tempat sebegini. Selagi Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) tak turun hari ini, mungkin kita tidak dapat kesan tempat ini.
"Saya amat sedih melihat keadaan ini... walaupun kita pernah lihat ini ketika dijajah British sebelum kemerdekaan," katanya kepada pemberita.
Operasi lebih satu jam yang bermula kira-kira pukul 9.30 pagi itu turut disertai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya sebagai menteri amat malu melihat keadaan seperti ini yang cukup teruk yang saya lihat setakat ini.
"Saya memberi amaran keras kepada majikan-majikan supaya mematuhi akta sedia ada dalam mengendalikan pekerja warga asing," tambahnya.

Ditanya sama ada operasi syarikat itu akan ditutup atau sebaliknya, beliau menjelaskan perkara itu di bawah bidang kuasa PBT.
Tambahnya, pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dengan badan tersebut dalam masa terdekat.
Difahamkan sejumlah 781 pekerja dengan 759 daripadanya pekerja asing tinggal di dalam kontena tersebut yang diubah suai menjadi kemudahan penginapan.

Saravanan turut memaklumkan operasi mengejut itu akan diteruskan di seluruh negara secara berkala.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami