KUALA LUMPUR : Kesemua menteri daripada parti UMNO bersepakat untuk terus kekal dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri menjelaskan, keputusan itu dicapai selepas pertemuan beliau dengan para menteri itu pada Isnin.

"Menteri-menteri dari UMNO telah menemui saya pada hari Isnin, 29 Mac lalu.

"Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet kerana mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

"Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau tidak mahu peletakan jawatan menteri-menteri UMNO menjejaskan segala perancangan kerajaan dalam mengendalikan isu COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam kabinet.

"Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan bahawa kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang," ujarnya.

Perhimpunan PAU 2020 lalu telah meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.