Taktik tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis sebelum memeras ugut dan menyamun warga asing akhirnya terbongkar apabila ditahan pihak berkuasa pada Isnin.

Ketua Polis Brickfields ACP Ruslan Khalid berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun ditahan dalam serbuan di kondominium di sini, sekitar Jalan Klang Lama dan Jalan Sultan Ismail.

"Polis menerima laporan pada 13 dan 14 April lalu, melibatkan kejadian samun yang berlaku di sebuah kedai runcit dan sebuah kedai makan di Brickfields, melibatkan tiga suspek menyamar sebagai anggota polis.

"Modus operandinya, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dan membuat pemeriksaan lesen kedai serta dokumen pekerja.

"Mereka seterusnya memeras ugut mangsa supaya menyerahkan wang serta barang berharga jika tidak mahu ditangkap," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Ruslan, mangsa samun dalam kedua-dua kejadian melibatkan tiga warga Bangladesh.

Sementara itu, kejadian samun di kedai runcit melibatkan kerugian RM3,800 yang dialami mangsa.

"Manakala di kedai makan, mangsa kerugian RM5,000, satu unit komputer riba, tiga unit telefon bimbit dan 10 keping kad sim syarikat telekomunikasi," tambahnya.

Susulan kejadian, Ruslan berkata, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah menjalankan operasi bagi mengesan suspek dan kesemua mereka telah ditangkap bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, beberapa barang rampasan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas termasuk lapan telefon pintar pelbagai jenama, satu komputer riba, satu kereta Perodua Myvi serta sepasang gari.

"Kesemua suspek kini direman selama lima hari sehingga 20 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (Samun Berkumpulan).

"Siasatan susulan, termasuk untuk mengesan penglibatan suspek dengan kes-kes di daerah dan negeri lain, diteruskan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Mohd Aznal Bin Alawi di talian 016-839 0236, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.