KUALA LUMPUR: Berblaus merah lengan panjang - satu daripada dua helai baju yang dia ada - gadis bertubuh kecil itu duduk bersendirian. Kesugulan bahasa tubuhnya jauh berbeza dengan tiga rakan lelakinya yang rancak berborak dan ketawa di luar sebuah restoran di Mae Sot, bandar di sempadan Thailand-Myanmar.
Kumpulan anak muda berusia 19 hingga 25 tahun itu mempunyai sebab untuk berasa gembira. Beberapa hari sebelumnya, pada 3 Feb, mereka diselamatkan daripada KK Garden di sempadan Thailand-Myanmar. Petempatan yang terletak di sebelah Myanmar itu kerap menjadi tajuk berita belakangan ini sebagai pangkalan beberapa pusat penipuan, di mana dilaporkan ratusan rakyat Malaysia yang diseludup masuk dipaksa bekerja sebagai penipu dalam talian.
Nur Fitriani Abdullah atau lebih mesra dipanggil Fi, lebih banyak berdiam diri semasa makan malam pada hari berkenaan. Setiap soalan yang diaju kepadanya dijawab dengan sopan, namun hanya setakat itu. Tidak ada perincian atau jawapan lanjut diberikan. Hanya selepas beberapa pertemuan barulah dia mula menunjukkan kemesraan dan kesediaan untuk berbicara.
Berasal daripada keluarga yang berpecah belah, gadis berusia 19 tahun ini memberitahu Bernama yang dia sudah biasa bersendirian. Anak jati Batu Pahat, Johor itu terpaksa berdikari menyara diri selepas datuknya yang merupakan penjaganya, meninggal dunia lebih setahun lalu. Kematian datuknya itu turut memaksa dia berhenti sekolah tanpa sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Justeru, apabila dia ternampak iklan di laman sosial Facebook mengkehendaki rakyat Malaysia untuk bekerja sebagai jurukemas di sebuah hotel di Singapura dengan gaji US$1,100 (RM4,923) sebulan, dia bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.
"(Ia kerana di) Singapura dan gaji besar, saya rasa macam okey, boleh cuba kerja ni. Saya cuba (dulu) seorang. Kalau okey, baru saya ajak (teman lelaki saya)," ceritanya.
Bagaimanapun teman lelakinya, Kamil Abdul Hamid, 25, memutuskan untuk ikut serta. Fi yang tidak memiliki pasport dan Kamil kemudian diseludup masuk ke Thailand menerusi Sungai Golok, sebelum dibawa ke Sungai Moei yang mengalir di antara Myanmar dan Thailand, pada pertengahan September 2022.
Kisah Fi tidak jauh berbeza dengan mereka yang senasib, baik dari Malaysia ataupun negara lain, apabila mendapati diri mereka diseludup sama ada ke Kemboja, Laos atau Myanmar selepas memohon "pekerjaan" yang diiklankan atau terperangkap dengan penipuan asmara dalam talian.
Walapun penipuan pekerjaan dan penipuan asmara ini bukan masalah baharu, kaedah serta lokasi mangsa dan pemangsa kini sudah berubah seiring peredaran masa. Menerusi kemajuan teknologi digital dan perkembangan media sosial, ditambah pula sekatan akibat pandemik COVID-19 yang mewujudkan lebih ramai golongan terhimpit, jenayah penipuan pekerjaan dan penyeludupan manusia semakin menjadi-jadi.
Menurut pakar, tidak ada tanda-tanda yang kegiatan jenayah itu akan berakhir, sekali gus menambah kekayaan si dalang dengan risiko yang sangat rendah, sedangkan mangsa pula mengalami trauma.
PERUBAHAN
Malaysia adalah antara pusat transit bagi penyeludupan manusia di Asia Tenggara. Jika dahulu Malaysia merupakan negara destinasi bagi penyeludupan pekerja asing dan pencari suaka, kini ia menjadi negara sumber untuk kegiatan penyeludupan.
Jurucakap Pejabat Serantau bagi Asia dan Pasifik, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) Itayi Viriri memberitahu Bernama penipuan pekerjaan dan penyeludupan mangsa telah berubah melangkaui kaedah dan koridor biasa perekrutan.
"Jumlah serta kepelbagaian kewarganegaraan mangsa yang kita lihat sekarang merupakan sesuatu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Malah, rasanya kami tidak pernah melihat 'set up' penyeludupan sebegini sebelum ini. Kami rasa ini juga menunjukkan bagaimana jaringan sosial dan platform dalam talian serta media boleh digunakan," katanya kepada Bernama menerusi e-mel.
Sebelum ini, Kemboja dan Laos adalah destinasi pilihan sindiket terbabit. Namun kini, Myanmar mengambil alih kedudukan itu. Laporan media menyebut negara anggota ASEAN itu yang sedang mendepani kacau-bilau susulan rampasan kuasa tentera pada 2021, selain gerakan kumpulan pemisah sejak berdekad lalu, sebagai destinasi tumpuan baharu.
Profil mangsa juga sudah berubah. Jika dahulu sindiket menyasarkan golongan miskin dan pekerja kurang kemahiran bagi menampung industri perikanan dan pertanian, kini mereka mencari individu yang mempunyai sedikit pendidikan, celik Internet serta kemahiran berbahasa Inggeris dan/atau Cina.
"Cara mereka memilih negara untuk menyeludup (mangsa) bukan berasaskan rantau Asia, tetapi berdasarkan pendidikan bahasa Inggeris. Mereka utamakan pendidikan bahasa Inggeris dan Cina. Mereka mahu terjemahan bahasa Cina dan (penulis bahasa) Inggeris menjalankan penipuan dalam talian. (Ia) disebabkan rakyat Malaysia mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang agak bagus berbanding negara lain seperti Thailand yang rata-rata rakyatnya tidak mempunyai kemahiran itu," kata Judah Tana, pengasas dan Pegawai Eksekutif Antarabangsa badan amal Global Advance Projects yang berpangkalan di Mae Sot.
Jabatan Negara Amerika Syarikat, badan bukan kerajaan serta pakar-pakar lain berkata kebanyakan sindiket jenayah atau elemen jenayah terancang berkenaan adalah daripada, atau melibatkan mereka yang mempunyai kaitan dengan China. Barisan pengurusan pertengahan lazimnya terdiri daripada mereka yang berasal dari negara yang sama dengan mangsa, bermakna ada rakyat Malaysia yang bekerja secara sukarela sebagai penyelia.
Pakar juga berkata kesalahan itu yang melibatkan penggunaan Internet serta merentasi negara menyebabkan pelakunya sukar dikekang dan dibawa ke muka pengadilan, sekalipun ia tidak mustahil untuk dilakukan.
MODUS OPERANDI
Baik mangsa, aktivis ataupun penyelamat, mereka berkata ada skrip khusus yang diikuti oleh sindiket bagi menyeludup mereka yang terjebak dalam perangkap penipuan pekerjaan atau asmara.
Biasanya ia bermula dengan tawaran pekerjaan palsu di luar negara dengan janji melangit atau ajakan untuk bersembang dalam talian dengan gadis cantik.
Sebaik terjerat, mangsa akan berjumpa dengan perekrut atau penipu, sama ada dalam negara dan diseludup ke sempadan, atau menerima wang atau tiket kapal terbang untuk ke negara transit, di mana dalam kes ini ia adalah Thailand.
Selalunya pekerjaan yang dijanjikan itu di tempat lain. Mangsa hanya tahu tentang perubahan destinasi selepas mereka memulakan perjalanan.
Selepas tiba di Thailand, seseorang daripada syarikat akan menemui mangsa serta merampas pasport mereka. Sepanjang perjalanan ke lokasi pejabat, mangsa dipantau rapi oleh pengawal, sementara kenderaan serta pengawal pula ditukar setiap beberapa jam. Kawalan juga semakin ketat.
Semakin jauh perjalanan semakin tipis peluang mangsa untuk melarikan diri. Mangsa melaporkan yang mereka mahu melarikan diri namun terlalu takut atau tidak tahu bagaimana serta daripada siapa harus mereka meminta bantuan.
Apabila sampai di destinasi terakhir - KK Garden di Myawaddy bagi Fi dan rakan-rakannya - mereka diberikan penjelasan tentang pekerjaan mereka, iaitu menipu orang ramai secara dalam talian. Jika mereka mahu meninggalkan tempat itu, "majikan" memberitahu yang mereka perlu membayar balik fi perekrutan (dipercayai sekurang-kurangnya RM10,000 seorang) dan kos pengangkutan.
Fi berasa amat sedih dan kecewa selepas mengetahui yang dia ditipu.
"Saya rasa macam... kenapa tak nak beritahu benda betul? Saya rasa macam menyesal sangat. Sebab kita tahu benda tu benda haram, kita memang tak nak buat benda tu, tapi bila mereka ugut, saya rasa... kalau aku tak ada duit nak balik ni, memang aku kena kerja kat sini atau memang aku habis kat sini," ujarnya.
Sindiket itu memberitahu Fi dan Kamil yang mereka perlu membayar RM60,000 masing-masing kepada syarikat. Rakan-rakannya, iaitu Adam Iskandar Tukiman dan Nur Akmar bin Hamsan pula diberitahu mereka berhutang dengan syarikat sebanyak RM40,000 masing-masing.
Penyelia mereka menetapkan sasaran untuk dipenuhi. Bergantung pada kejayaan mereka menipu orang, ada pelbagai insentif dan wang tunai yang akan diberikan kepada mereka. Jika gagal, mereka akan dihukum secara fizikal.
Sesiapa yang melawan akan dibelasah, diseksa atau dikurung di dalam bilik pengasingan. Ugutan lain termasuk dijual bagi tujuan penuaian organ dan dibuang ke dalam Sungai Moei, di mana dikatakan ada buaya.
Fi berkata penyelia mengugut untuk merogolnya bagi memastikan Kamil mematuhi arahan dan untuk mengawal dia pula, penyelia mengancam menyeksa Kamil. Demi menjaga keselamatan masing-masing, kedua-duanya akur.
Pakar berkata keadaan itu adalah buruh paksa dan ikatan hutang, yang mana mangsa dimanipulasi dan dipaksa bekerja bagi menjelaskan "hutang" yang kononnya terakru serta bagi pembebasan mereka. Semakin cemerlang "prestasi" mereka maka semakin pendeklah tempoh mereka ditahan di situ. Adakala mangsa bertukar menjadi pemangsa apabila mereka "hanyut" dengan kejayaan dan menerima ganjaran lumayan daripada syarikat.
Tana yang berkata beliau telah membantu menyelamatkan hampir 100 mangsa, memberitahu Bernama bahawa cara sindiket itu menipu mangsa seolah-olah ia satu program brainwashing.
"Kita tidak boleh kata unsur (brainwashing) tidak berlaku ke atas mereka, sebab mereka yang putuskan bahawa kegiatan itu okey dan mereka boleh bertahan tinggal di situ," katanya.
KESANNYA
Fi, Kamil, Adam dan Akmar diselamatkan pada 3 Feb lepas. Berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum Sim Chon Siang, angkatan tentera Thailand menghantar satu pasukan ke Myawaddy bagi mengesan mangsa. Ahli perniagaan Malaysia yang berpangkalan di Bangkok, Victor Wong pula menyalurkan maklumat berkenaan mangsa kelima Lee Zhi Chong yang turut diselamatkan.
Selepas lebih sebulan dia diselamatkan, Fi masih diselubungi rasa bersalah kerana terjebak dalam penipuan itu. Dia rasa bersalah kerana bersetuju membawa Kami bersama dan juga rasa bersalah kerana menipu wang orang ramai demi menyelamatkan diri sendiri. Kini, gadis itu menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila mencari rezeki di seberang laut.
Hubungannya dengan Kamil sudah putus kerana katanya ada ahli keluarga lelaki itu menyalahkannya kerana menyebabkan Kamil menjadi mangsa penyeludupan manusia.
"Tapi saya tak ambil hati sebab memangpun salah saya juga kan walaupun saya tak ajak dia dan dia sendiri yang nak ikut saya. Tapi tak mengapa, benda dah jadi. Kita perlu teruskan dan jalani hidup baharu," katanya menerusi WhatsApp.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Mar 08 2023
Malaysia adalah antara pusat transit bagi penyeludupan manusia di Asia Tenggara. - Gambar hiasan
Vincente kekal optimis walaupun tewas 0-1 kepada Thailand
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menyatakan rasa bangga terhadap prestasi pemainnya, terutama sekali menentang juara bertahan kejohanan itu.
Mesir, pegawai AS bincang usaha gencatan senjata di Gaza
Presiden Sisi menekankan keperluan segera untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Tiga ditahan, pelbagai dadah bernilai RM44,200 dirampas
Semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah narkotik.
Banjir: Jumlah mangsa kekal 47 orang di dua negeri
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan dua negeri.
Malaysia pilih jalan sukar, tewas 0-1 kepada Thailand
Malaysia wajib menang menentang Singapura pada 20 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Simposium Legenda Puteri Santubong dianjur tahun depan - Nancy
Datuk Seri Nancy Shukri berkata simposium itu bakal dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.
Inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak satu peluang luar biasa - TYT
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak memerlukan ramai tenaga mahir, untuk mencapai visi menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.
Rakyat Jepun bantah keganasan seksual tentera Amerika Syarikat
Rakyat Jepun pada petang Jumaat berhimpun di luar Kementerian Luar di Tokyo untuk membantah keganasan seksual oleh anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara itu.
Indonesia sediakan sistem keselamatan siber sokong transformasi digital
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital sedang menyediakan sistem keselamatan siber bagi menyokong pelaksanaan transformasi digital di Indonesia.
Ekonomi ASEAN mengalami pertumbuhan stabil pada 2024 di sebalik cabaran
Asia Tenggara muncul sebagai antara rantau dengan pertumbuhan ekonomi paling pesat di dunia.
Terpengaruh gaji lumayan, dua sahabat jadi mangsa sindiket penipuan di Kemboja
Dua sahabat yang ditawarkan pekerjaan di kasino dengan gaji RM4,000 sebulan di Kemboja akhirnya menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di negara itu.
Mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja kembali ke tanah air
Tujuh rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan dijadual pulang ke tanah air pada Jumaat selepas hampir dua bulan ditahan di pusat tahanan imigresen Kemboja.
Kerajaan tubuh jawatankuasa khas tangani sindiket penipuan kerja
KLN telah memanfaatkan pelbagai platform yang tersedia seperti media sosial, media massa dan hebahan secara fizikal bagi mempertingkatkan kesedaran rakyat Malaysia.
Lelaki terkandas di Myanmar: Polis Johor minta bantuan Bukit Aman, Interpol
Polis Johor akan meminta bantuan Bukit Aman serta Interpol dalam usaha membawa pulang seorang lelaki warga Malaysia yang terkandas di Myanmar.
Anwar rakam penghargaan kepada PM Kemboja bantu bawa pulang warga Malaysia
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatannya dari Kemboja Hun Sen atas sokongannya membawa pulang rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
Menyoroti perjalanan mangsa penipuan pekerjaan
Artikel ini adalah bahagian pertama laporan bersiri dua bahagian mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket.
Polis Malaysia, Thailand setuju perkukuh kerjasama banteras penipuan pekerjaan luar negara
Polis Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam usaha membanteras penipuan pekerjaan di luar negara yang membabitkan rakyat kedua-dua negara itu.
Sindiket penipuan pekerjaan: 'Jangan terperdaya tawaran gaji tinggi, kami sengsara 4 bulan' - Mangsa
Orang ramai terutama golongan muda diingatkan supaya berhati-hati dengan tawaran gaji lumayan oleh agensi pekerjaan luar negara bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
Dua agensi berlesen disiasat PDRM, dipercayai dalang sindiket penipuan pekerjaan
Polis sedang menyiasat dua syarikat agensi pekerjaan tempatan di bawah Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) PDRM.
Sindiket Pekerjaan: 90 rakyat Malaysia dalam proses dibawa pulang, 88 masih dikesan - Saifuddin
Perwakilan Malaysia di empat negara terlibat akan terus bekerjasama dengan kerajaan negara itu bagi tujuan pengesanan dan penyelamatan.