MALAYSIA
'Merayakan demokrasi’, PM arah PDRM jamin kelancaran himpunan 'Turun Anwar’

Perdana Menteri Anwar turut mengajak seluruh rakyat untuk terus menjunjung demokrasi dengan akal yang waras, semangat yang matang serta keikhlasan dalam berbeza pandangan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memberikan kerjasama penuh bagi memastikan 'Himpunan Turun Anwar' yang ditunjangi Pas berlangsung dengan aman, lancar dan tanpa sebarang intimidasi.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri mengarahkan PDRM memberi kerjasama penuh bagi memastikan perhimpunan 'Turun Anwar' anjuran Pas berlangsung secara aman dan tertib, selaras dengan prinsip demokrasi dan hak bersuara.
- Kerajaan MADANI menegaskan komitmen terhadap amalan demokrasi matang dengan membuka ruang kritikan dan meraikan perbezaan pandangan secara bertanggungjawab tanpa intimidasi.
- Perhimpunan ini dilihat sebagai manifestasi toleransi politik, dengan kerajaan menekankan kepentingan menjaga keselamatan awam dan menjunjung demokrasi secara berhemah dan berakhlak.
“Beliau telah mengarahkan pihak PDRM untuk membantu memastikan keselamatan awam terpelihara serta kelancaran perhimpunan dapat dibantu,” kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah dalam taklimat media PMO hari ini.
Tambahnya, Kerajaan MADANI kekal dengan pendirian bahawa suara pembangkang dan demonstrasi aman merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan matang, selagi ia tidak melanggar undang-undang serta tidak menggugat ketenteraman awam.
“Di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, ruang bersuara bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati.
“Kerajaan tidak menyekat kritikan secara membuta tuli, tetapi meraikan perbezaan pandangan dengan semangat terbuka dan sikap bertanggungjawab,” katanya.
PM Anwar turut mengajak seluruh rakyat untuk terus menjunjung demokrasi dengan akal yang waras, semangat yang matang serta keikhlasan dalam berbeza pandangan.
“Kerajaan MADANI berdiri teguh bukan kerana menutup ruang kritikan, tetapi kerana membuka ruang toleransi dengan penuh ihsan dan istiqamah,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami