MALAYSIA

Merayakan Demokrasi: Pembangkang mahu perjuang tema kos sara hidup dalam 'Himpunan Turun Anwar'

Astro Awani 26/07/2025 | 03:15 MYT
Menurut penganjur Dewan Pemuda Pas Malaysia, perhimpunan "Merayakan Demokrasi: Himpunan Turun Anwar" akan bermula jam 2 petang Sabtu dengan lokasi terakhir ialah di Dataran Merdeka. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kestabilan politik negara, kebebasan badan kehakiman dan bebanan kos sara hidup yang berterusan membelenggu kehidupan rakyat.

Itu merupakan antara tema yang diangkat oleh penganjur "Merayakan Demokrasi: Himpunan Turun Anwar" yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Menurut kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, gabungan politik itu menyokong sepenuhnya Himpunan Turun Anwar anjuran Dewan Pemuda Pas Malaysia itu, atas alasan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi masa ini.

“Perikatan Nasional mengingatkan bahawa himpunan aman ini adalah manifestasi rakyat untuk membawa perubahan yang sebenar demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengambil peluang menyatakan sokongan terhadap himpunan tersebut, yang beliau sifatkan satu proses demokrasi yang perlu disokong semua rakyat Malaysia yang terkesan dengan ketidakcekapan Kerajaan hari ini.

“Makin hari rakyat tambah derita, kehidupan harian semakin sukar, ramai terdesak dan tertekan sehingga sanggup melakukan perkara yang tidak terfikir, termasuk membunuh diri, bunuh mak dan bapak, bunuh anak dan bermacam,” katanya melalui satu rakaman video yang disiarkan kurang 12 jam sebelum himpunan.

Menariknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama sewajarnya demi memastikan keselamatan awam terpelihara.

Dalam taklimat harian, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, Anwar mengambil maklum tentang kempen dan perhimpunan tersebut.

“Sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan dan semangat reformasi, beliau menitipkan pesanan agar demonstrasi atau perhimpunan ini berlangsung secara aman dan tertib.

“Hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak yang menentang Kerajaan – adalah satu elemen penting dalam Negara yang bebas dan adil. Di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, ruang ini bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati.

“Apa jua ketidaksetujuan terhadap Kerajaan, termasuk menerusi demonstrasi awam, tidak akan disekat secara membuta tuli. Sebaliknya, ia dianggap sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan matang, selagi ia tidak melanggar undang-undang dan tidak mengancam keselamatan awam,” kata Tunku Nashrul lagi.

Menurut laman rasmi penganjur https://turunanwar.com, beberapa kawasan di sekitar bandaraya telah ditetapkan sebagai lokasi berkumpul iaitu – Dataran Sogo; Masjid Jamek Kuala Lumpur; Masjid Negara; dan Pasar Seni sebelum peserta dijangka berarak ke Dataran Merdeka.

Ia dijangka akan bermula jam 2 petang, dan pengisian program termasuk ceramah oleh pemimpin kanan PN termasuk Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pimpinan kanan parti-parti politik gabungan, serta aktivis dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sivil masyarakat.





#Himpunan Turun Anwar #kos sara hidup #Dataran Merdeka #Perikatan Nasional #pembangkang