Merdeka 118 diiktiraf Bangunan Tinggi Terbaik dunia

Menara Merdeka 118 secara rasminya diiktiraf sebagai Bangunan Tinggi Terbaik (300 meter ke atas) oleh Council on Vertical Urbanism sekali gus menandakan satu lagi pencapaian membanggakan Malaysia di pentas dunia. - Gambar fail/PNB Merdeka Ventures
KUALA LUMPUR: Menara Merdeka 118 secara rasminya diiktiraf sebagai Bangunan Tinggi Terbaik (300 meter ke atas) oleh Council on Vertical Urbanism (CVU) sekali gus menandakan satu lagi pencapaian membanggakan Malaysia di pentas dunia.
Ringkasan AI
- Menara Merdeka 118 diiktiraf sebagai Bangunan Tinggi Terbaik (300 meter ke atas) oleh Council on Vertical Urbanism (CVU) di Toronto, Kanada.
- Pengiktirafan ini mencerminkan kehebatan seni bina, kepakaran kejuruteraan, serta komitmen Merdeka 118 dalam mengutamakan kelestarian bandar.
- Merdeka 118 menjadi mercu tanda penting Kuala Lumpur dengan ketinggian 678.9 meter, menjadikannya bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan menara kedua tertinggi di dunia.
PNB Merdeka Ventures Snd Bhd (PNBMV) memaklumkan pengiktirafan itu mencerminkan kehebatan seni bina, kepakaran kejuruteraan serta komitmen Merdeka 118 dalam mengutamakan kelestarian.
"Dengan ketinggian 678.9 meter di tengah-tengah Kuala Lumpur menjadikan Merdeka 118 sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan menara kedua tertinggi di dunia, melambangkan kemajuan serta aspirasi negara," menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata peingiktirafan itu merupakan penghormatan besar buat Malaysia serta semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pembinaan Merdeka 118.
"Sejak dari awal lagi, visi kami bukan hanya untuk membina sebuah menara ikonik, tetapi juga membentuk sebuah kawasan menghubungkan masyarakat, meraikan warisan serta menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih mampan dan inklusif.
"Kami berasa bangga apabila visi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Merdeka 118 mencerminkan semangat kemerdekaan, melambangkan ketabahan dan keyakinan Malaysia terhadap masa depan," katanya.
Arkitek Utama Fender Katsalidis, Karl Fender berkata reka bentuk Merdeka 118 bukan untuk mencapai ketinggian luar biasa, sebaliknya merupakan peluang mencipta monumen abadi yang menghormati warisan Malaysia sambil meraikan masa depannya.
"Anugerah ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa seni bina unggul terhasil daripada nilai serta tujuan mendalam, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang," katanya.
Sementara itu, Pengerusi CVU Shonn Mills berkata Merdeka 118 merupakan kecemerlangan reka bentuk bersepadu yang menggabungkan kecekapan teknikal, nilai penceritaan budaya serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.
"Ia menjai contoh bagaimana bangunan tinggi mampu berperanan sebagai pemangkin kepada pembaharuan bandar, sambil mencerminkan identiti serta aspirasi sesebuah negara," katanya.
Menurut PNBMV, Merdeka 118 diiktiraf sebaris dengan pembangunan bertaraf dunia lain atas keunggulan dalam reka bentuk, inovasi serta peranannya dalam memajukan konsep pembangunan bandar lestari.
Dibangunkan PNB Merdeka ventures, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Merdeka 118 menjadi mercu utama Presint Merdeka 118 yang merangkumi pembangunan bercampur menampilkan dua stadium bersejarah, ruang komuniti serta reka bentuk berasaskan kelestarian.
"Komponen utama seperti Stadium Merdeka dan 118 Mall dijangka menjadi destinasi awam inklusif, disokong pelbagai inisiatif berteraskan komuniti termasuk Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 dan Geran Komuniti Merdeka 118," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada projek Warisan KL bertujuan menghidupkan semula kawasan kejiranan di sekitarnya serta mengukuhkan jalinan komuniti di ibu kota.
Menurut PNBMV, pengiktirafan di peringkat global ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan bandar mampan dan inklusif.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah pengiktirafan yang diterima oleh Menara Merdeka 118 baru-baru ini? A: Menara Merdeka 118 diiktiraf sebagai Bangunan Tinggi Terbaik (300 meter ke atas) oleh Council on Vertical Urbanism (CVU).
- Q: Siapakah yang memaklumkan tentang pengiktirafan tersebut? A: PNB Merdeka Ventures Snd Bhd (PNBMV) merupakan pihak yang memaklumkan tentang pengiktirafan Menara Merdeka 118 oleh CVU.
- Q: Mengapakah Merdeka 118 dianggap sebagai mercu tanda yang penting? A: Merdeka 118 dianggap sebagai mercu tanda penting kerana ketinggiannya 678.9 meter menjadikannya bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan menara kedua tertinggi di dunia.
- Q: Siapakah Arkitek Utama yang terlibat dalam reka bentuk Menara Merdeka 118? A: Arkitek Utama yang terlibat dalam reka bentuk Menara Merdeka 118 adalah Fender Katsalidis, Karl Fender.
- Q: Apakah komponen utama yang termasuk dalam Presint Merdeka 118 selain Menara Merdeka 118? A: Komponen utama yang termasuk dalam Presint Merdeka 118 selain Menara Merdeka 118 ialah Stadium Merdeka dan 118 Mall yang dijangka menjadi destinasi awam inklusif.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

