KUALA LUMPUR: Demi menzahirkan rasa cinta kepada negara, seorang pemilik restoran mengambil pendekatan unik dengan menawarkan hidangan bufet makan tengah hari berharga hanya RM10, sepanjang Bulan Kebangsaan.

Menerusi MERDEKA Buffet Lunch yang ditawarkan di Mr Boom Naan Corner Restaurant 1983 di AU5, Keramat di sini, pelanggan berpeluang menikmati 25 hingga 30 jenis lauk-pauk menyelerakan dengan harga rendah berkenaan.

Pemilik restoran Parwiz Kaur, 62, berkata, usaha itu bertujuan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah daripada pelbagai kaum menikmati menu pilihan dengan harga murah pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 1 hingga 31 Ogos ini.

"Saya sudah terlibat dalam industri ini sejak 40 tahun lepas. Biasanya, harga bufet yang ditawarkan di mana-mana restoran atau hotel bukan murah kerana kebanyakannya mencecah ratusan ringgit.

"Jadi, inilah peluangnya buat golongan kurang berkemampuan ini menikmati pelbagai juadah lazat dalam suasana yang santai sepanjang Bulan Kebangsaan ini," katanya kepada Bernama.

Parwiz berkata antara menu yang disediakan ialah sajian Melayu seperti ikan masak kicap, ketam masam manis, bambo lala, ikan kembung masak lemak cili api, rojak buah, ikan bakar, ikan patin masak tempoyak, cucur selain menu istimewa, roti nan goreng atau Bhatura yang dimakan bersama dal dan keema, bagi memenuhi permintaan pelanggan, bermula 11.30 pagi hingga 3 petang.

"Setiap hari menu ini akan berubah. Ia disediakan seawal 8 pagi oleh dua tukang masak sambil dibantu dengan dua pembantu menggunakan resipi saya sendiri.

"Pelanggan boleh menikmati semua jenis hidangan asalkan jangan membazir dan sekiranya ia berlaku, caj tambahan akan dikenakan. Alhamdulillah, walaupun promosi ini adalah yang pertama kali, namun sambutan yang diterima sangat positif dan rata-ratanya berpuas hati," katanya.

Katanya, sambil menikmati hidangan bufet, pelanggan juga dihiburkan dengan persembahan secara langsung daripada pemuzik jalanan, selain kibaran Jalur Gemilang menceriakan suasana di dalam dan di luar restoran itu yang boleh memuatkan hingga 700 pelanggan pada satu-satu masa.

Parwiz berkata pelanggan juga tidak perlu khuatir dengan kualiti makanan yang disediakan kerana pihaknya sangat teliti dalam penyediaan semua hidangan serta mendapatkan sendiri bahan mentah daripada pembekal.

"Apabila membabitkan soal kos, saya sendiri turun padang mendapatkan bekalan bahan mentah terus dari ladang bagi mendapatkan harga yang murah.

"Saya tidak akan ke pasar untuk membeli bahan mentah susulan harganya yang lebih mahal. Oleh itu, saya berani menawarkan harga bufet serendah ini dan masih ada keuntungan yang diperolehi," katanya dan menambah harga bufet itu tidak termasuk air.

Sebagai kemuncak tawaran itu, Parwiz bercadang untuk melanjutkan bufet berkenaan bermula 7 pagi hingga 11 malam pada 31 Ogos ini dengan harga yang sangat istimewa dan akan diumumkan di media sosial kelak.

Bekas pekerja swasta, Ruzillah Md Ariff, 62, memuji akan usaha yang dilaksanakan selain berpuas hati dengan kualiti dan kuantiti makanan yang ditawarkan.

"Bagus usaha yang dibuat sebab biasanya harga bufet mahal, tak dapat serendah ini. Walaupun harganya RM10, setiap makanannya berkualiti, berbaloi dengan harganya. Semua makanan sedap-sedap belaka," katanya.

Zubaidah Yusoff, 53, pula tertarik untuk merasai hidangan bufet tersebut selepas melihat promosi itu yang tular di media sosial.

"Semalam, saya ada lihatnya (promosi) di TikTok. Hari ini, saya terus mengajak keluarga dan kawan-kawan untuk datang makan. Semua makanannya memang sedap," katanya yang juga peniaga makanan. - BERNAMA