JOHOR BAHRU: Mersing menjadi daerah baharu terjejas akibat banjir di Johor selepas enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menempatkan 366 mangsa daripada 90 keluarga di daerah itu, setakat jam 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R Vidyananthan berkata, PPS yang merekodkan jumlah mangsa tertinggi di daerah itu ialah Politeknik Mersing, dengan 104 mangsa daripada 27 keluarga.

Ia disusuli SK Air Papan, membabitkan 84 mangsa daripada 19 keluarga dan Kompleks Taman Negara Endau-Rompin dengan 62 mangsa daripada 13 mangsa.

PPS lain ialah di SK Tenglu yang menempatkan 57 mangsa daripada 15 keluarga, SK Sri Pantai membabitkan 56 mangsa daripada 15 keluarga dan Balai Raya Sri Pantai, yang menempatkan tiga mangsa daripada satu keluarga,

“Keseluruhan mangsa banjir di Johor meningkat kepada 3,841 pada 8 pagi, berbanding 3,665 pada 4 pagi tadi.

“Keseluruhan PPS yang dibuka setakat ini sebanyak 62, berbanding hanya 59 PPS pada tengah malam tadi di lima lagi daerah terjejas iaitu Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kluang.

"Ketika ini, Segamat masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 3,178 orang daripada 828 keluarga, yang ditempatkan di 47 PPS.

"Manakala Kota Tinggi mencatatkan 122 mangsa daripada 41 keluarga, yang ditempatkan di 3 PPS," katanya.

Menurut Vidyananthan, dua sungai di Johor berada pada paras bahaya membabitkan Sungai Segamat dan Sungai Tangkak, setakat 8 pagi tadi.