[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Mersing mula dilanda banjir, 30 penduduk dipindahkan ke PPS

Siti Nur Aqilla Omar 16/12/2025 | 23:45 MYT
Operasi pemindahan mangsa dilaksanakan anggota BBP Endau bermula jam 12.01 tengah malam tadi, selepas menerima laporan kejadian banjir. - Foto ihsan JBPM Johor
MERSING: Daerah Mersing mula dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak malam tadi, menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air dan penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, sebanyak 10 keluarga membabitkan 30 penduduk dari Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Hubong telah dipindahkan ke PPS berkenaan

"Sebuah PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar pada jam 7 pagi tadi.

"Mengikut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) lima batang sungai iaitu Lembangan Sungai Muar (Segamat), Lembangan Sungai Muar (Tangkak), Lembangan Sungai Endau (Mersing), Lembangan Sungai Muar (Tangkak) dan Lembangan Sungai Melantai di Kluang berada pada aras waspada," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, operasi pemindahan mangsa dilaksanakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau bermula jam 12.01 tengah malam tadi, selepas menerima laporan kejadian banjir.

"Mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut terdiri daripada empat bayi, 10 kanak-kanak, 13 dewasa dan tiga warga emas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan cuaca semasa masih hujan dan pemantauan rapi terus dijalankan oleh JBPM dengan kerjasama agensi berkaitan.

Katanya setakat ini, tiada laporan mengenai jalan raya yang dinaiki air atau terputus.





#banjir #PPS #Mersing #paras air sungai #monsun timur laut