Mesej tular kematian akibat bahan kimia tidak benar - Dr Dzulkefly

Astro Awani
Mac 13, 2019 15:42 MYT
DR DZULKEFLY: Tiada kematian, siapa pun yang buat cerita di media sosial tentang kematian, itu tidak benar. - Gambar fail/Astro AWANI
Tiada kematian akibat dari kejadian pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor setakat ini.
Hal itu disahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, susulan tular mesej di aplikasi WhatsApp dan media sosial berhubung maklumat palsu kematian pelajar Tingkatan Dua akibat bahan kimia.
"Jumlah mangsa yang dimasukkan ke wad buat masa ini ialah 166, dengan sembilan daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU).
"Tetapi tiada kematian, siapa pun yang buat cerita di media sosial tentang kematian, itu tidak benar," kata Dr Dzulkefly dalam sidang media, pada Rabu.
BACA: Tiada kematian susulan kejadian pembuangan sisa toksik di Sg Kim Kim
Menurut beliau, jumlah terkini mangsa yang dirawat ialah 506 orang.
Terdahulu, seorang pelajar tingkatan dua Affza Balqis Ahmad Sharel dilaporkan berada dalam keadaan kritikal kesan daripada gas methana yang dihidunya.
BACA: "Ummi, adik cantikkan?" - ibu kenang nasib anak yang juga mangsa pencemaran bahan kimia
Adik Affza Balqis, 14 tahun, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort Pasir Gudang kini dirawat di ICU Hospital Sultan Ismail, Johor.
#Affza Balqis Ahmad Sharel #Dzulkefly Ahmad #kematian #media sosial #Menteri Kesihatan #pelajar tingkatan dua #Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort #Sungai Kim Kim #tular kematian akibat bahan kimia #WhatsApp