Mesej tersebar di media sosial mengatakan tiga pemimpin UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal akan memfailkan laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) esok adalah palsu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO melalui posting di Facebooknya mengesahkan mesej berkenaan adalah palsu.

"WhatsApp yang tersebar mengenai laporan polis oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah PALSU," menurut posting di laman Facebook Muhyiddin Yassin.

Admin: Whatsapp yang tersebar mengenai laporan polis oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah PALSU

Posted by Muhyiddin Yassin on Wednesday, October 14, 20

Mesej palsu yang tersebar ketika ini menyebut laporan polis akan dibuat oleh tiga pemimpin tersebut secara serentak di tiga Ibu Pejabat Polis dan disusuli dengan laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada Isnin, beberapa pemimpin 'heavyweight' Barisan Nasional bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media bagi menentang penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang di bawah SOSMA.

Selain Muhyiddin, turut hadir ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid, dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.