MALAYSIA

Mesej WhatsApp tular dakwa MOF tawar STR, SARA RM600 kepada bujang adalah palsu

Bernama 21/01/2026 | 11:10 MYT
MOF memaklumkan bahawa tiada sebarang permohonan atau bayaran bantuan STR dan SARA dibuat melalui WhatsApp. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa pesanan WhatsApp tular berkaitan permohonan dan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM600 bagi kategori bujang adalah palsu.

MOF menerusi hantaran di laman X rasmi memaklumkan bahawa tiada sebarang permohonan atau bayaran bantuan STR dan SARA dibuat melalui WhatsApp.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuka pautan yang mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi dengan pihak tidak dikenali.

"Untuk maklumat sahih dan terkini, sila rujuk saluran rasmi MOF sahaja," menurut hantaran itu.

Penyaluran STR Fasa 1 bagi tahun ini yang bermula semalam melibatkan peruntukan RM1.1 bilion dan memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM500 mengikut kelayakan.

Sementara itu, SARA bulanan berjumlah RM50 hingga RM200 disalurkan bermula 9 Jan lepas kepada 8.1 juta penerima, terdiri daripada 3.7 juta isi rumah, 3.1 juta penerima kategori bujang dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

-- BERNAMA


#sara #Str #mesej palsu #scam